Kedai Bergerak 1Amanjaya (KB1AJ)

Saturday, April 28, 2018

Kedai Bergerak 1Amanjaya (KB1AJ)

Kedai Bergerak 1Amanjaya (KB1AJ)

IPOH - Kedai Bergerak 1Amanjaya (KB1AJ) merupakan satu lagi produk yang sangat popular dalam kalangan rakyat di Perak.

Merupakan sebuah projek komuniti yang dikendalikan YBUDR bagi membantu rakyat di kawasan pedalaman dan luar bandar khususnya golongan yang berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).

Kewujudan KB1AJ dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai kesinambungan idea konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Naib Tun Razak.

KB1AJ diperkenalkan untuk rakyat Perak bagi membolehkan barang keperluan asas terpilih diedarkan secara bergerak ke seluruh Perak.

Harga barangan yang ditawarkan oleh KB1AJ lebih murah dan berpatutan dengan pemberian diskaun khas oleh kerajaan negeri sehingga 10 hingga 20 peratus.

KB1AJ tidak pernah kekurangan pelanggan setiap kali bergerak ke kampung-kampung.

Malah, Adun-Adun di kawasan yang menerima kunjungan KB1AJ ini juga turut memberikan diskaun khas melalui peruntukan mereka sendiri.

Dari segi barang-barang yang dijual, KB1AJ pada awalnya menjual 22 jenis barangan pada tahun 2014 kemudian pada tahun 2015 sebanyak 34 barangan diikuti 40 variasi barangan pada tahun 2016.

Pada peringkat awal, KB1AJ yang diperkenalkan pada tahun 2013 itu kini mempunyai empat lori yang bergerak ke kawasan-kawasan luar bandar menjual 40 jenis barangan.

Antara barang-barang yang paling laris dijual termasuklah beras, gula dan tepung kerana harganya sangat murah berbanding di pasaran.

Disebabkan harga yang murah itu, pihak YBUDR mengehadkan pembelian mengikut kuota yang ditetapkan setiap individu kerana mahu golongan sasaran benar-benar mendapat manfaat.

Pemilihan lokasi biasanya di kawasan yang jauh dari KR1M dan kawasan perniagaan berhampiran kerana KB1AJ tidak bersaing dengan kedai-kedai sedia ada.

Selain itu juga, manfaat kewujudan KB1AJ ini turut mendapat perhatian negeri-negeri yang ingin melaksanakan model sama di negeri masing-masing.

Antara yang telah hadir ke YBUDR adalah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Satu perjumpaan khas telah dibuat susulan minat yang ditunjukkan Menteri Besar Terengganu melihat usaha yang dilakukan kerajaan negeri Perak melalui projek komuniti KB1AJ.

Info Kedai Bergerak Amanjaya

1. KB1AJ pada awalnya menjual 22 jenis barangan sebelum bertambah pada tahun 2014 dengan 22 variasi barangan sebelum meningkat kepada 34 barangan pada tahun 2015 dan kini mempunyai 41 barangan.

2. Mempunyai empat lori yang bergerak ke kawasan-kawasan luar bandar dan bandar-bandar terpilih di lebih 70 lokasi.

3. Menawarkan diskaun 10 hingga 20 peratus bagi semua barangan yang dijual.

4. Antara barang-barang yang dijual termasuklah Beras Darul Ridzuan, tepung gandum, sardin, bawang, gula dan pelbagai barangan keperluan asas yang lain.

5. Lokasi KB1AJ tertumpu di kawasan orang ramai seperti perkarangan masjid, dewan orang ramai, kawasan pekan, padang dan sebagainya.

6. Beroperasi setiap Ahad hingga Isnin bermula jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang.

7. Waktu operasi dan lokasi semasa boleh diketahui melalui laman web www.yayasanbinaupaya.com dan facebook.com/KedaiBergerak1Amanjaya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment