Kadar kemalangan dijangka meningkat

Thursday, April 5, 2018

Kadar kemalangan dijangka meningkat

Kadar kemalangan dijangka meningkat

SUNGAI PETANI: Kadar kemalangan jalan raya dijangka meningkat pada musim pilihan raya berbanding hari biasa, berikutan kesibukan aktiviti kempen sepanjang tempoh itu.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa, berkata ini berdasarkan musim pilihan raya lalu yang mencatat peningkatan ketara jumlah kemalangan jalan raya.

"Pada musim pilihan raya ini, banyak pihak akan menjalankan kempen di seluruh pelosok tempat sehingga ada yang keletihan akibat mengejar masa dan tidak cukup rehat.

"Hal ini akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya. Justeru, saya mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sepanjang musim pilihan raya berlangsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Keselamatan Jalan Raya Petron Bersama Pelajar Sekolah Menengah Peringkat Kedah 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar di sini, hari ini.

Seramai 180 pelajar dari 10 sekolah menengah seluruh negeri ini menyertai program itu yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar supaya lebih memahami peraturan jalan raya, sekali gus menjadi pengguna berhemah.

Dalam pada itu, Rosli turut menyentuh sikap segelintir ibu bapa membenarkan anak menunggang motosikal ke sekolah walaupun tidak memiliki lesen.

"Kesibukan ibu bapa dengan tugasan harian ialah antara punca mereka membenarkan anak menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 60 hingga 65 peratus kadar kemalangan maut di negara ini membabitkan motosikal dengan majoritinya dalam kalangan orang muda.

Oleh itu, katanya, ibu bapa sepatut tidak membiarkan anak menunggang motosikal tanpa lesen bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan, tambahan pula mereka tiada perlindungan insurans.

Beliau berkata, pelajar pula disaran menyertai Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekolah kerana bukan sahaja berpeluang menikmati potongan harga hingga 50 peratus bagi pengambilan lesen B2 tetapi juga dapat meningkatkan kesedaran mereka terhadap aspek keselamatan jalan raya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment