Fikir keharmonian, kestabilan, keamanan bila pilih kerajaan

Sunday, April 8, 2018

Fikir keharmonian, kestabilan, keamanan bila pilih kerajaan

Fikir keharmonian, kestabilan, keamanan bila pilih kerajaan

TAWAU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat agar memikirkan  mengenai keharmonian, kestabilan dan keamanan ketika membuat keputusan memilih kerajaan pada PRU14 ini.

Katanya rakyat juga perlu memikirkan siapa yang berupaya membawa kemajuan dan membangunkan ekonomi negara untuk dinikmati semua lapisan rakyat apabila menentukan  kerajaan pilihan mereka pada PRU berkenaan.

“Kita mesti melihat siapakah yang dapat mengekalkan keharmonian dalam negara kita ini, hubungan yang begitu serasi antara kaum, agama, budaya tanpa mengira warna kulit tetapi kita tetap dalam ikatan yang padu.

“ Saya lihat bahawa Sabah ini merupakan contoh terbaik di Malaysia ini (dari segi keharmonian kaum),” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT),  di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan  Timbalannya  Datuk Seri Yahya Hussin.

Menurut Najib rakyat juga perlu memilih kerajaan yang berupaya mewujudkan kestabilan politik di negara ini kerana kestabilan politik akan menentukan pembangunan sesebuah negara.

“Tanpa kestabilan politik tidak mungkin kita dapat membawa pembangunan. Tanpa kestabilan politik dan hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri tak mungkin kita dapat bawa kemajuan kepada negeri Sabah.

“Dalam tempoh BN (Barisan Nasional) memerintah, kita telah dapat menentukan kestabilan politik dan hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” kata Pengerusi BN itu.

Menurut Najib keamanan juga perlu menjadi ukuran rakyat apabila mereka memilih kerajaan kelak kerana dengan adanya keamanan rakyat akan dapat menikmati hidup lebih sejahtera.

Justeru katanya, beliau memberi komitmen tinggi untuk menentukan  keamanan di  Sabah termasuk di kawasan pantai timur negeri itu akan terus dipertahankan kerajaan.

“ Setiap rakyat dan setiap inci bumi Sabah ini akan kita pertahankan sampai bila-bila,” tegas Najib. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment