Bau hangit penyelamat
MANJOI - Bau hangit kuat yang dihidu jiran menyelamatkan seorang warga emas bersama empat cucunya daripada menjadi mangsa kebakaran melibatkan dua rumah di Jalan Pemimpin, Kampung Manjoi Baru, malam tadi.
Kejadian sekitar jam 8.20 malam itu berlaku, ketika wanita berusia lingkungan 80-an itu tinggal bersama tiga cucu perempuan dan seorang lelaki berusia antara 17 hingga 6 tahun.
Jiran yang terhidu bau itu mengesyaki adanya kebakaran sebelum bertindak segera menyelamatkan warga emas terbabit dan mengarahkan empat yang lain lari menyelamatkan diri.
Menantu mangsa, Azizi Razlan Mawar, 56, berkata, dua rumah berkenaan disewa oleh ibu mentua serta anak lelakinya sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun menurutnya ketika kejadian, anak lelaki bersama keluarganya keluar makan.
"Saya dimaklumkan, bau hangit bermula di rumah yang didiami anak saya, mereka cuba pecahkan pintu, namun tidak berjaya sebelum api mula marak.
"Bimbang kebakaran lebih tak terkawal, jiran segera selamatkan mak mentua saya yang tinggal bersebelahan dan yang lain serta arahkan jiran terdekat keluar ke tempat lebih selamat," katanya ketika ditemui, hari ini.
Azizi berkata, api yang marak terlalu cepat menjadikan usaha jiran-jirannya mahu menyelamatkan kelengkapan rumah terhalang.
"Tak ada apa dapat diselamatkan, meskipun begitu saya tetap bersyukur yang penting semua ahli keluarga selamat," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Zamri Awang Long berkata, kebakaran mengakibatkan 80 peratus kerosakan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, api berjaya dikawal anggota yang menerima bantuan Balai Ipoh dalam tempoh 15 minit.
"Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri, pemeriksaan lanjut masih dilakukan di lokasi dan buat masa ini punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment