Akauntan didakwa memfitnah Datin Seri

Friday, April 6, 2018

Akauntan didakwa memfitnah Datin Seri

Akauntan didakwa memfitnah Datin Seri

BANDARAYA MELAKA - Seorang akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi, atas pertuduhan memfitnah individu bergelar Datin Seri, lima tahun lalu.

Tertuduh, Koh Foh Ghe, 64, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja membuat sesuatu pernyataan zahir, secara isyarat atau menyiarkan apa-apa tohmahan terhadap Datin Seri Lee Ngan Hoo, 63, dengan maksud hendak merosakkan nama baik mangsa.

Tindakan itu dilakukan tertuduh antara jam 8 malam hingga 10.30 malam di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Ting Hwa dalam daerah Melaka Tengah pada 19 Februari 2013.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Yap Bell Pung yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kepada RM1,500 dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dilakukan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Kim Keat membenarkan jaminan sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 16 Mei ini untuk sebutan semula kes.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment