300 rumah percuma jika BN menang PRU14: Jamal

Thursday, April 5, 2018

300 rumah percuma jika BN menang PRU14: Jamal

300 rumah percuma jika BN menang PRU14: Jamal

SABAK BERNAM - Sebanyak 300 unit rumah percuma BN bernilai hampir RM25 juta bakal dibangunkan di Parlimen Sungai Besar sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN pada PRU14.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pembinaan itu nanti dilaksanakan di empat kawasan iaitu di Parit 16 Sungai Panjang, Sungai Leman Sekinchan, Pekan Sungai Besar dan Pekan Sekinchan.

Menurutnya, perancangan yang dibuat sejak tiga tahun lalu itu melibatkan sebanyak empat hektar tanah masing-masing 100 unit di Parit 16 Sungai Panjang dan Sungai Leman Sekinchan.

“Manakala sebanyak 50 unit lagi dibina di Pekan Sungai Besar dan Pekan Sekinchan melibatkan komuniti Cina,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Rumah Percuma BN Parlimen Sungai Besar, Dun Sungai Panjang dan Dun Sekinchan di Parit 16, Sungai Panjang, di sini, petang tadi.

Jamal berkata, rumah bernilai RM83,000 seunit itu bakal dibangunkan di kawasan itu ekoran kegagalan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam manifesto mereka dalam dua PRU terdahulu.

“Di atas kehampaan rakyat, kami telah memulakan langkah dengan membeli tanah di kawasan ini dan kami akan bangunkan kawasan ini dengan membina rumah berkeluasan 100 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya.

Beliau menegaskan, rumah percuma tanpa mengira ideologi politik itu diberikan secara percuma kepada pasangan baharu berkahwin yang mempunyai pendapatan RM2,500 sebulan ke bawah, selain pasangan dan keluarga memang tidak memiliki harta dan tanah.

Katanya, projek itu tercetus hasil program jelajah turun padang berjumpa penduduk yang ingin memikiki kediaman, tetapi tidak berkemampuan.

“Idea timbul daripada ziarah rumah ke rumah kerana ada segelintir yang memerlukan bantuan ini,” katanya.

Justeru, tegas beliau, rakyat Selangor perlu buka mata untuk mengembalikan pemerintahan BN di negeri ini.

“Projek ini mampu terlaksana jika BN merampas Selangor kerana untuk mendirikan bangunan, kelulusan merancang terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau memberitahu, sekiranya BN berkuasa, projek yang dilaksanakan di Sungai Besar itu juga akan diperjuangkan kepada rakyat di negeri ini.

“Tidak susah dapat rumah percuma," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment