2 tren baharu atasi kelewatan ETS

Monday, April 2, 2018

2 tren baharu atasi kelewatan ETS

2 tren baharu atasi kelewatan ETS

KUALA LUMPUR: Masalah kelewatan perjalanan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang kerap dan berulang sehingga 'menghantui' pengguna dijangka dapat diatasi apabila dua set tren baharu akan beroperasi pada akhir tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kelewatan ETS akibat tren rosak dan bekalan elektrik terputus ini juga akan dipulihkan apabila sembilan tren beroperasi sepenuhnya mulai November 2019.

"Kita membeli sembilan set tren baharu untuk menangani masalah kelewatan jadual ETS. Dua tren sudah tiba. Walaupun ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2019, kita jangka dua set ini akan beroperasi pada Disember tahun ini.

"Dengan adanya tren baharu ini dan menambah baik gerabak sedia ada, masalah dihadapi ETS dari segi kekerapan akan diperbaiki," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Soo Seang bertanya mengenai rancangan kerajaan memperbaiki dan mempertingkatkan khidmat ETS yang sering berlaku kelewatan jadual, kerosakan gerabak dan terputus bekalan elektrik.

Nancy berkata, mulai bulan ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mengeluarkan jadual perjalanan ETS sepanjang bulan ini untuk memudahkan pengguna mendapat maklumat waktu sebenar.

"Apabila ada jadual perjalanan secara waktu sebenar ini, ia diharap dapat membantu pengguna merancang perjalanan seperti hendak menghadiri mesyuarat.

"Kita juga mempunyai laman sesawang yang menyediakan jadual perjalanan ETS untuk kemudahan pengguna," katanya menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment