Mangsa banjir di Perak bertambah

Friday, December 1, 2017

Mangsa banjir di Perak bertambah

Mangsa banjir di Perak bertambah

IPOH: Bilangan mangsa banjir di tiga daerah di negeri ini meningkat kepada 1,000 orang daripada 232 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan setakat jam 7 malam ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman, berkata jumlah mangsa terus meningkat berbanding 928 mangsa daripada 229 keluarga yang dilaporkan petang tadi.

"Keseluruhan sebanyak 963 mangsa daripada 220 keluarga dipindahkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Manjung iaitu di Sekolah Agama Tebuk Yan, Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Ishak, SK Sungai Batu, SK Nakhoda Mohammad, Dewan Orang Ramai Batu 8 Segari dan SK Muhammad Saman.

"Manjung kekal menjadi daerah tertinggi menempatkan mangsa di pusat pemindahan di negeri ini setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Noor Hassan Ashari berkata, bagi daerah Muallim, seramai 22 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Muda.

Selain itu katanya, bagi daerah Taiping, seramai 15 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Kampung Jawa Sungai Nyior Trong.

Katanya, satu PPS sudah ditutup iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Slim yang ditutup pada jam 4.45 petang tadi.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment