Mahathir gagal insafi kesalahan beliau

Sunday, December 31, 2017

Mahathir gagal insafi kesalahan beliau

Mahathir gagal insafi kesalahan beliau

SHAH ALAM - Pas mendakwa Pegerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memusuhi dan mempertahankan fitnah terhadap parti itu serta syuhada Memali.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, kini Mahathir mengheret mufti untuk turut serta terhumban ke dalam kancah fitnah liar yang direka beliau sendiri.

"Ucapan penggulungan beliau di Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Bersatu jelas mempamerkan beliau masih gagal menginsafi kesalahan besar yang telah beliau lakukan sejak menjawat kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Beliau cuba memperbodohkan mufti seperti mereka tiada ilmu dan keberanian sehingga tidak menangkis Amanat Hj Hadi. Beliau terlalu merendahkan keupayaan dan kedudukan para mufti. Jika benar Amanat Hj Hadi bercanggah dengan syariat Islam, maka tidak munasabah 14 orang mufti sepakat untuk membisu dan membiarkan suatu yang mungkar berlaku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Mahathir masih menggunakan fitnah lapuk kononnya Pas menjual agama dan memperalatkan agama demi kepentingan politik.

"Saya percaya tidak ramai terpedaya dengan dakyah songsang Mahathir. Dunia teknologi maklumat hari ini telah berjaya membekalkan maklumat jelas kepada masyarakat sekaligus menampakkan wajah sebenar perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

"Apakah perjuangan Pas untuk memperkasakan mahkamah syariah, mendaulatkan syariat Islam, mewujudkan nilai-nilai hidup Islam, mempertahankan kesucian Islam, pertahankan kemerdekaan negara, menentang ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), rasuah, judi, zina dan riba disifatkan sebagai menjual agama?" soalnya.

Nasrudin menyatakan Perlembagaan Pas menyebut dasar parti berkenaan adalah Islam dan tujuan ia ditubuhkan adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat, pemerintah mengikut nilai hidup agama tersebut serta menuju keredaan ALLAH di negara ini.

"Fasal ke 6 (b), di bawah tajuk Usaha-usaha Pas ialah memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

"Jika tindakan Pas bercanggah dengan perlembagaan atau undang-undang tubuhnya, maka sudah lama perjuangan kami ini ditolak oleh rakyat dan diambil tindakan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau dibatalkan pendaftarannya seperti Umno yang pernah diharamkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dakwaan Mahathir bahawa parti itu mengkafirkan mereka yang tidak menyokong Pas satu fitnah jahat.

"Malah tiada disebut pun dalam Amanat Hj Hadi bagai yang didakwa. Bahkan mereka yang mengamati Amanat Hj Hadi secara teliti dan saksama, nescaya memahami bahawa amanat itu tidak sekali-kali mendakwa siapa yang tidak sokong Pas sebagai kafir.

"Fitnah ini telah saya dengar sejak tahun 80an lagi. Filem hitam putih yang cuba ditayang semula oleh Mahathir di pawagam tiga dimensi (3D)," katanya.

Tambah Nasrudin, berkaitan kematian Allahyarham Ibrahim Libya dan rakan-rakan di pekarangan rumahnya, mereka diserang dan bukan menyerang.

"Bagaimana mereka dianggap melancarkan pemberontakan bersenjata.  Mereka bukan menyerang Bukit Aman dan Mahathir bangkitkan empat anggota polis terbunuh. Bagaimana dengan penduduk kampung yang diserang dan 14 dari mereka terbunuh?

"Jika mereka adalah pemberontak bersenjata, mengapa Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyiram air mawar di pusara para syuhada Memali dan menghadiahkan nisan untuk pusara mereka. Buat Mahatir kembalilah ke pangkal jalan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment