Pemandu lori ditahan bersama rokok seludup
KUANTAN - Seorang pemandu lori ditahan bersama 280 kotak rokok disyaki rokok seludup dianggarkan bernilai RM745,000 selepas lori dipandunya ditahan dihadapan sebuah kedai kopitiam di Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, awal pagi tadi.
Susulan penahanan suspek berusia 34 tahun itu, polis turut merampas lori jenis Isuzu dianggarkan bernilai RM80,000 yang dipandu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, bertindak atas maklumat berhubung kegiatan penyeludupan rokok, pihaknya berjaya mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di jalan Kuantan-Segamat kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
Menurutnya, lori terbabit cuba ditahan untuk pemeriksaan bagaimanapun pemandunya gagal mematuhi arahan dan terus memecut melarikan diri.
"Suspek juga nekad menghimpit kenderaan polis yang mengejarnya.
"Lori tersebut terus diekori sebelum berhenti di hadapan sebuah kopitiam di Jalan Kuantan-Segamat dan pemandunya berjaya ditahan," katanya.
Othman berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori itu, pihaknya menemui 280 kotak rokok disyaki rokok seludup sebelum semuanya dirampas untuk siasatan lanjut.
Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Muadzam Shah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment