Memali: Mufti diam sebab wujud campur tangan politik

Sunday, December 31, 2017

Memali: Mufti diam sebab wujud campur tangan politik

Memali: Mufti diam sebab wujud campur tangan politik

KUALA LUMPUR - Sikap berdiam diri mufti  sewaktu tercetusnya peristiwa Memali adalah disebabkan wujudnya campur tangan politik terhadap pengurusan pentadbiran negara pada era tersebut.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sepatutnya dalam sistem pemerintahan demokrasi, sistem pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan judisiari, apa yang berlaku era itu adalah campur tangan politik terhadap pengurusan pentadbiran.

“Itu yang menyebabkan hakim dipecat, ketua polis negara bertindak dengan cara tidak tepat, mufti pun hendak dipaksa. Daripada mereka bercakap lebih baik mereka diam di masa itu, lebih selamat.

“Itu suasana ketika itu dari segi pemerintahan negara yang perlu kita jelaskan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Penambahan Ahli Pas, ‘Pas Pilihanku 2.0', di ibu pejabatnya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoal tindakan golongan mufti yang tidak memperbetulkan kenyataan Pas, yang didakwa mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai parti tersebut.

“Mereka (mufti) berdiam seribu bahasa, seolah-olah mereka setuju dengan pendapat Pas. Kalau mereka setuju dengan Pas, mereka tak masuk Pas maka mereka juga kafir,” kata Mahathir ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bersatu.

Bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada Amanat Hadi yang mencetuskan peristiwa Memali pada 19 November 1985, menyebabkan pengikut Ibrahim Libya merancang kononnya menggunakan pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan.

“Mahathir pakar perubatan, bukan ahli hukum syarak. Oleh kerana perkara itu berkait dengan hukum syarak dan agama, dia tidak boleh memaksa orang yang ahli dalam ilmu syariat untuk ikut beri fatwa mengikut kemahuannya.

“Saya rasa langkah mufti mengambil sikap yang begitu di zaman itu, zaman yang tidak ada pemisahan kuasa," kata Hadi.

Peristiwa Memali telah mencetuskan pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung yang akhirnya mengorbankan 18 orang termasuk guru agama termasuk Ibrahim Libya berserta empat anggota polis. Puluhan rakyat yang lain tercedera dan menyebabkan penahanan beratus-ratus orang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment