Selangor tak layak!
STADIUM Nasional Bukit Jalil hanya layak digunakan untuk perlawanan bertaraf antarabangsa dan kejohanan-kejohanan besar di Malaysia dan bukannya untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Itu disuarakan bekas pemain Selangor, Khalid Ali apabila mengulas mengenai hasrat Selangor menjadikan Bukit Jalil sebagai stadium rasmi pasukan bagi menghadapi saingan Liga-M, musim depan.
Khalid yang dihubungi semalam berkata, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dilihat seolah-olah berfikiran cetek tanpa memikirkan apakah kemungkinan yang berlaku sekiranya menjadikan Bukit Jalil sebagai venue rasmi pasukan.
"FAS kena ingat Stadium Bukit Jalil bukan hanya untuk bola sepak. Banyak lagi sukan-sukan lain yang mahu menggunakan stadium itu.
"Saya risau, nanti di kemudian hari apabila ada sukan-sukan lain nak guna, di mana Selangor mahu bermain? Tidakkah nanti akan menjejaskan jadual perlawanan mereka sendiri?
"Lagi satu, bila menjadikan sebuah stadium nasional untuk dijadikan venue rasmi perlawanan liga seperti ini, bagi saya ia sedikit sebanyak akan menjatuhkan prestij sebuah stadium yang sepatutnya digunakan untuk pasukan kebangsaan," katanya,
Justeru, Khalid meminta FAS mempertimbangkan hasrat tersebut dan kekal bermain di Stadium Selayang seperti musim lalu.
"Bagi saya lebih baik kekal di Selayang. Penyokong Selangor yang datang ke stadium pun bukannya sentiasa penuh.
"Saya rasa ramai penyokong pun lebih mudah menyaksikan perlawanan di Selayang dan suasana akan jadi lebih meriah," katanya.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tampil membidas kenyataan ini.
Naib Presidennya, Datuk Abdul Rauf Ahmad berkata, tidak seharusnya timbul isu jika Selangor mahu menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil kerana pihak FAS bukannya menggunakan stadium itu secara percuma.
"Kepada yang mempertikaikan, saya nak beritahu kami bukan bermain secara percuma di sana. Tanggapan itu kami perlu betulkan kerana kami tetap membayar sewa stadium.
"Tapi ia tidak bermaksud stadium itu akan terikat sepenuhnya kepada pasukan Selangor sahaja. Seperti sedia maklum masih ada sukan-sukan lain seperti ragbi, olahraga akan menggunakan stadium itu.
"Dan pihak kami sendiri sudah atur dan berbincang dengan pihak stadium agar tiada kejohanan yang akan clash (bertembung) bila kami beraksi di sana nanti," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment