Aplikasi Padiyo permudah caj letak kereta

Sunday, December 31, 2017

Aplikasi Padiyo permudah caj letak kereta

Aplikasi Padiyo permudah caj letak kereta

KANGAR: Pemilik kenderaan di Perlis kini menikmati kemudahan sistem pembayaran parkir yang lebih mudah, dengan penggunaan aplikasi khusus melalui telefon pintar masing-masing yang dikenali sebagai 'Padiyo'.

Padiyo dibangunkan Thenar Technology Sdn Bhd (Thenar) sebagai aplikasi telefon pintar khusus untuk tujuan pembayaran caj letak kereta, tanpa memerlukan pengguna mencari mesin untuk tujuan bayar dan peraga atau ejen jualan kupon letak kereta.

Pengurus Besar Kanan Thenar, Khairul Hisham Hassan, berkata aplikasi ini tidak akan mengganti atau melupuskan sistem pembayaran tempat letak kereta sedia ada, sebaliknya memberi pilihan kepada pengguna untuk menjimatkan masa mereka melalui pembayaran secara mobile.

"Orang ramai boleh memuatnaik aplikasi Padiyo di Play Store atau App Store, sebelum diberikan kredit parkir sebanyak RM50 secara percuma....cara penggunaannya juga mudah di mana pengguna hanya perlu memasukkan nombor kenderaan, nombor petak parkir dan tempoh masa ke dalam sistem aplikasi berkenaan.

"Melalui aplikasi ini, pengguna akan menerima notifikasi dalam tempoh lima minit sebelum tamat waktu meletakkan kenderaan bagi mengelak disaman penguat kuasa, malah pengguna boleh melanjutkan masa parkir melalui telefon tanpa perlu ke kenderaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi penerangan kepada orang ramai mengenai aplikasi berkenaan di sekitar Jalan Seruling, di sini, hari ini.

Khairul Hisham berkata pengenalan aplikasi itu mendapat sokongan dan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan ketika ini masih di peringkat percubaan di jalan Seruling, di sini, selama tiga bulan sehingga 31 Mac 2018.

"Selepas tempoh berkenaan MPK akan menilai sama ada mahu menggunakan aplikasi ini atau tidak...jika MPK mahu meneruskannya, ia akan diperluas di kawasan lain tanpa mengganti atau melupuskan sistem tempat letak kereta sedia ada.

"Kita percaya jika ia dilaksanakan kelak, pembayaran parkir boleh dibuat melalui kad debit atau kad kredit dan orang ramai yang inginkan lebih penerangan boleh berjumpa saya atau wakil kami yang akan berada di sekitar Jalan Seruling untuk tempoh selama tiga bulan ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment