Au Kam Wah tidak bertanding

Friday, December 29, 2017

Au Kam Wah tidak bertanding

Au Kam Wah tidak bertanding

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Datuk Au Kam Wah, hari ini mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin muda berpengalaman, berkelayakan dan mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang politik, sejajar keperluan negara masa kini.

"Sebenarnya keputusan untuk tidak bertanding ini sudah dibuat sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lagi dan inilah masa yang sesuai untuk memberi peluang kepada golongan muda menerajui kepemimpinan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura ini.

"Saya rasa dengan kemajuan negara dan kecanggihan zaman teknologi ketika ini, amat perlu dan sesuai golongan muda diangkat menjadi pemimpin supaya dapat mewakili dan membela golongan berkenaan," katanya pada sidang media khas beliau, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan, berkata keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Musa Haji Aman.

Katanya, walaupun keputusan mengenai calon dibuat kepemimpinan tertinggi BN, pengganti calon untuk bertanding di kawasan berkenaan sudah dikenal pasti.

"Saya mencadangkan agar Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Elopura, Chan Tzun Hei menjadi calon bagi kawasan ini pada PRU akan datang," katanya.

Kam Wah mula bertanding sebagai calon pada 2004 atas tiket BN di bawah Parti Maju Sabah (SAPP) dan menang pada pilihan raya ketika itu.

Pada tahun 2008, beliau mengumumkan keluar daripada SAPP selepas parti itu yang diketuai bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee keluar BN.

Setahun selepas itu, Kam Wah yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation menyertai Parti Gerakan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment