Penduduk Cheras Baru rimas kebanjiran warga asing

Sunday, December 31, 2017

Penduduk Cheras Baru rimas kebanjiran warga asing

Penduduk Cheras Baru rimas kebanjiran warga asing

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Cheras Baru, dekat sini, mahu tindakan sewajarnya diambil pihak berkuasa bagi menangani kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

Ini kerana ia didakwa mengundang pelbagai masalah kepada penduduk, terutama membabitkan aspek kebersihan dan keselamatan sehingga mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan masyarakat setempat.

Penduduk, Chua Ah Beng, 80, berkata warga asing mula mendiami kawasan itu sejak dua tahun lalu dan bertambah dari sehari ke sehari hingga membentuk satu komuniti.

Katanya, penduduk tidak menghalang mereka menyewa di situ, namun kesal kerana ramai mengabaikan kebersihan dengan membuang sampah merata-rata hingga kawasan sekitar kotor dan dibimbangi mengundang masalah kesihatan.

"Kebanyakan warga asing terdiri daripada etnik Rohingya serta warga Bangladesh dan Myanmar. Penduduk kerap menegur supaya mereka jaga kebersihan, tetapi tidak diendahkan.

"Kami terpaksa meminta bantuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membersihkan kawasan sekitar kampung ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, penduduk juga takut membawa anak bermain di padang kerana setiap petang terdapat ramai warga asing berkumpul di situ, malah turut mengotorkan kawasan lapang terbabit dengan sampah.

"Selain itu, kami juga bimbang dengan tahap keselamatan di sini kerana ada di antara warga asing yang pernah terbabit dengan kegiatan jenayah seperti merompak," katanya.

Naib Pengerusi Wanita MCA Wilayah Persekutuan, Heng Sinn Yee, yang meninjau kampung berkenaan, meminta pihak berkuasa melakukan rondaan atau pemeriksaan terhadap setiap warga asing yang tinggal di situ.

"Kebanjiran warga asing di sini menyebabkan penduduk rasa seperti tinggal di tempat asing. Tindakan segera perlu diambil pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen kerana kita tidak mahu warga asing menjadi punca masalah," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment