10 bayi terima ADAM50 di Hospital Melaka
MELAKA: Sambutan kelahiran 10 bayi tahun baharu 2018 di Melaka lebih bermakna kali ini apabila menerima manfaat insentif percuma sebanyak 200 unit menerusi Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).
Kelahiran bayi warganegara Malaysia masing-masing empat lelaki dan enam perempuan itu direkodkan bermula pada jam 12.01 tengah malam tadi sehingga jam 11.30 pagi ini, di Hospital Melaka.
Surirumah dari Negeri Sembilan, Maria Mansor, 30, berkata pelaburan ke dalam unit amanah berkenaan memberi jaminan masa depan bagi bayi perempuannya, Dian Tiara Qayyisa Junaidi sehingga berumur 18 tahun.
"Saya mengetahui mengenai ADAM50 menerusi pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini. Kini, bayi saya boleh mempunyai simpanan sendiri seawal usia sehari dan saya berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk pemberian unit insentif percuma ini.
"Ia (insentif) sebagai modal pelaburan permulaan dan saya akan membuat tabungan seterusnya untuk jangka masa panjang, sama seperti saya lakukan untuk anak sulung lelaki di Amanah Saham Bumiputera (ASB)," katanya yang menyambut kelahiran bayi keempat seberat 2.7 kilogram (kg) pada jam 7.26 pagi.
Pegawai perubatan dari Terengganu, Nura'in Diyana Ismail, 26, berkata sumbangan itu sangat bermakna bagi dia dan suami, Muhd Fuad Muhd Affadil, 28, kerana hasrat membuat tabungan seawal usia sehari bagi bayi sulung lelakinya, tercapai.
"Saya akan pastikan tabiat melabur ke unit amanah ini berterusan bagi memberi masa depan terbaik untuk anak saya," katanya yang melahirkan bayi lelaki seberat 2.55 kg.
Hadir menyampaikan sumbangan ADAM50 itu ialah EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar diiringi Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Kewangan, Modal Insan, dan IT Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Mohd Nizam Zainordin dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Datuk Dr Dul Hadi Mat Juned.
ADAM50 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi pembentangan Bajet 2018 bari-baru ini, dilaksanakan bermula 1 Januari 2018 dianggar memanfaatkan 2.8 juta bayi Malaysia.
Melalui ADAM50, semua bayi warganegara Malaysia dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan menerima unit insentif percuma sebanyak 200 unit.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment