Wajib ada lesen pusat latihan haiwan

Saturday, December 30, 2017

Wajib ada lesen pusat latihan haiwan

Wajib ada lesen pusat latihan haiwan

PUTRAJAYA: Individu yang mahu melatih, menubuhkan atau membuka operasi pusat latihan haiwan akan diwajibkan memiliki lesen daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar apabila peraturan mengenainya dilaksanakan kelak.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, berkata peraturan berkenaan adalah mengikut Seksyen 15, Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang hampir siap.

"Sesiapa yang melakukan kesalahan dan didapati bersalah di bawah seksyen ini akan dikenakan denda tidak kurang RM15,000 dan tidak lebih RM75,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Quaza Nizamuddin mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, berhubung gesaan seorang aktivis hak asasi haiwan supaya pihak berkuasa mewujudkan peraturan bagi pusat latihan haiwan di Malaysia bagi mengelakkan lebih banyak kes penderaan haiwan berlaku.

Ia berikutan kes penderaan haiwan membabitkan seorang pelatih haiwan dan pemilik pusat latihan anjing yang viral di media sosial baru-baru ini.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas kes berkenaan.

Katanya, mengikut peruntukan dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015, jika didapati wujud kes kekejaman terhadap haiwan, penyedia atau operator latihan haiwan boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bermula 1 Julai lalu, Akta Kebajikan Haiwan 2015 dikuatkuasakan, bertujuan memastikan pemilik haiwan bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment