Pemangku Raja Pahang solat jenazah ADUN Lepar
KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama 500 jemaah menunaikan solat sunat jenazah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Datuk Mohd Shohaimi Jusoh, di Masjid Sultan Ahmad Shah, dekat sini, sebentar tadi.
Solat sunat jenazah diketuai Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman itu turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Antara pemimpin kerajaan negeri lain, yang menyertai solat sunat jenazah itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri, Datuk Seri Abu Bakar Harun.
Mohd Shohaimi disahkan meninggal dunia di kediamannya dekat Sungai Isap Damai, di sini, kira-kira jam 4 pagi tadi akibat serangan jantung.
Allahyarham berusia 55 tahun dipilih mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar dalam Parlimen Paya Besar sejak 2008.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment