Guan Eng enggan ulas cadangan Tun M sebagai PM
GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini, enggan mengulas cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara bagi pakatan pembangkang.
Guan Eng berkata, cadangan itu seharusnya dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang terlebih dahulu, sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamad.
"Biar perkara ini dibincang. Saya tidak ada dalam itu perhimpunan (Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan saya tidak mahu bergantung kepada apa yang dilaporkan dalam surat khabar (atau) media massa.
"Kerana tahulah ini semua (laporan media) nak buruk-burukkan atau macam mana ia disampaikan. Boleh biarkan perkara ini dibincang dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan kepemimpinan tertinggi PPBM bagi menamakan calon Perdana Menteri sementara sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Semalam, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan hasratnya mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bagi pakatan pembangkang, selepas mengambil kira kelayakan bapanya itu bagi menjawat jawatan berkenaan.
Cadangan itu turut disokong Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Dr Mahathir mampu mengendalikan kerajaan, jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14 nanti.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment