PPBM mahu jawatan PM kerana pengalaman Tun M - Mukhriz
SHAH ALAM: Tuntutan jawatan Perdana Menteri oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan untuk mengejar 'glamor', sebaliknya berpaksikan kepada pengalaman Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara.
Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata jawatan itu juga tidak sepatutnya dikaitkan dengan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi PPBM pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"PPBM bukan mahukan jawatan Perdana Menteri untuk 'glamor' tapi PPBM mahu sebab Dr Mahathir dilihat individu paling layak untuk keluarkan Malaysia daripada belenggu masalah yang dihadapi sekarang.
"Rundingan dengan Pakatan Harapan masih berlangsung, tugas Perdana Menteri tidak sepatutnya dikaitkan dengan jumlah kerusi parlimen yang kita akan tandingi dalam PRU-14 ," katanya berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di sini.
Mukhriz berkata, jawatan Perdana Menteri tidak seharusnya hanya dilihat pada kuasanya saja, tetapi jawatan itu perlu digalas dengan amanah dan tanggungjawab sangat berat.
"Negara memerlukan orang yang berpengalaman dan rekod cemerlang menyelesaikan krisis berat dan yang ada keikhlasan untuk jaga kepentingan rakyat," katanya.
Mukhriz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Kerusi PRU PPBM juga mengumumkan bahawa parti itu kini sudah memutuskan segala bentuk rundingan dengan PAS.
"Saya berpeluang hadiri rundingan dengan pelbagai pihak, ingin saya laporkan rundingan PPBM dan PAS gagal capai kata sepakat sebab dia menolak PPBM kerjasama dengan Parti Amanah Negara dan DAP.
"PPBM buat keputusan memutuskan rundingan dengan PAS, malah kita sanggup berhadapan tiga penjuru," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment