Bekas pengasas Variasari meninggal dunia

Sunday, December 31, 2017

Bekas pengasas Variasari meninggal dunia

Bekas pengasas Variasari meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Bekas pengasas dan penerbit majalah Variasari, Datuk Mustafa Ton, 75, meninggal dunia kira-kira jam 5 petang tadi akibat jangkitan paru-paru.

Menurut adik Allahyarham, Datuk Shaari Ton, arwah abangnya itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court malam semalam selepas mengadu sakit dada.

“Allahyarham juga menghidap penyakit angin ahmar (strok) sejak lebih setahun yang lalu. Jenazah Allahyarham kini telah dibawa pulang ke rumahnya di Ampang Jaya.

“Solat jenazah akan dilakukan esok di Masjid Taman TAR pada pukul 10.45 pagi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Jalan Ampang untuk dikebumikan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, malam ini.

Allahyarham Mustafa atau nama sebenarnya Muhammad Ton, merupakan bekas Presiden Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) yang mencetuskan idea penganjuran Festival Filem Malaysia yang pertama pada tahun 1980.

Dalam perkongsiannya, Shaari memberitahu bahawa Allahyarham turut menerbitkan beberapa buah filem termasuk Dendang Perantau dan Tuan Badul.

Beliau juga merupakan anak Melayu pertama yang menubuhkan kilang percetakan di Segambut pada tahun 1975 dengan menerbitkan akhbar tabloid Suara Rakyat, katanya.

Mula terlibat dalam bidang seni ketika berkhidmat di Radio Singapura sekitar tahun 60-an, Allahyarham berhijrah ke Malaysia bersama-sama Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin dan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof untuk mengembangkan karya seninya.

“Pada akhir hayatnya, Allahyarham banyak menghabiskan masa bersama keluarga di Jakarta, Indonesia.

“Beliau berpindah ke Jakarta lebih 10 tahun yang lalu dan telah menerbitkan majalah Hidayah. Dia (Allahyarham) kembali ke Malaysia kira-kira tiga bulan lepas selepas tahap kesihatannya merosot,” tambahnya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak. â€"Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment