Takut tinggal rumah lama-lama

Sunday, December 31, 2017

Takut tinggal rumah lama-lama

Takut tinggal rumah lama-lama

POKOK SENA - Kes kecurian yang sering berlaku menyebabkan rutin harian penduduk di Kampung Batu 13 Jalan Kuala Nerang, di sini terganggu berikutan mereka bimbang tidak dapat meninggalkan rumah lebih lama.

Zulkifli Md Zain, 62, berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, kes kecurian sangat aktif di sekitar kawasan itu sehingga penduduk takut mahu meninggalkan rumah mereka.

Menurutnya, dalam masa dua tahun sahaja dia kerugian hampir RM15,000 apabila lima lembu ternakannya hilang.

"Sedih bila kenangkan lembu dicuri kerana itulah sumber pendapatan kami sekeluarga," katanya.

Zulkifli berkata, pada kes pertama, dia kehilangan tiga ekor lembu menjelang musim perayaan.

"Saya sedar lembu tak muncul untuk makan. Bila saya ronda sekitar kandang, saya jumpa dua jarum.

"Saya yakin pencuri itu dah tembak guna suntikan pelali untuk mudahkan mereka mencuri. Selepas beberapa bulan, kes itu berulang lagi guna taktik sama," katanya.

Katanya, keadaan kawasan yang mempunyai banyak lorong memudahkan pencuri mengambil kesempatan untuk bergiat aktif di kawasan itu.

"Sejak kes kecurian itu, dia dan keluarga tak berani nak tinggalkan rumah sebab bimbang dimasuki pencuri seperti yang berlaku pada jiran apabila pendawaian elektrik di rumah yang diwakaf untuk jadi maahad tahfiz hilang dicuri.

"Sekarang maahad tahfiz itu juga tak dapat beroperasi sehingga sekarang," katanya.

Noraini Mohd Ramli, 52, pula berkata, kegiatan curi di kawasan itu sungguh aktif hingga barangan dan pakaian turut menjadi sasaran.

Menurutnya, apa sahaja barangan di luar rumah yang boleh dijual sudah pasti akan diambil pencuri.

"Seminggu lalu saya hilang baju yang dijemur dan tayar kereta. Kami sekeluarga terpaksa memantau keadaan di luar rumah sebab takut kejadian berulang.

"Saya harap  polis dapat buat tangkapan dan rondaan selalu di kawasan ini supaya mereka terlibat dapat ditangkap," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu 13, Abd Rahman Saad berkata, kawasan itu sangat luas dan mempunyai banyak lorong  memudahkan pencuri mengambil kesempatan itu untuk bergiat aktif di kawasan ini.

Menurutnya, sebelum ini penduduk pernah mewujudkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi mengatasi masalah itu hingga dapat beroperasi sehingga setahun.

"Pada mulanya KRT berjalan dengan baik hingga berjaya mengurangkan kes kecurian di situ. Bagaimanapun sambutannya semakin kurang apabila ramai penduduk tidak dapat menyertainya kerana pelbagai masalah.

“Saya akan meminta kerjasama polis supaya pihak berkenaan dapat meningkatkan lagi rondaan di kawasan itu,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment