Kedai emas dirompak rugi RM1.5 juta

Sunday, December 31, 2017

Kedai emas dirompak rugi RM1.5 juta

Kedai emas dirompak rugi RM1.5 juta

KUALA LUMPUR: Barang kemas dianggarkan bernilai RM1.5 juta berjaya dilarikan sekumpulan 10 lelaki yang merompak sebuah kedai emas di sebuah pusat beli belah di Taman Segar, Cheras di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kesemua suspek memakai topi keledar berpenutup penuh menaiki lima buah motosikal ke lokasi kejadian sebelum lima daripada suspek menyerbu kedai emas terbabit dengan bersenjatakan tukul besi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ismadi Borhan, berkata kesemua suspek yang turut bersarung tangan itu kemudian memecahkan ruang pameran barang kemas dengan tukul besi yang dibawa.

"Ketika kejadian, terdapat lima pekerja termasuk pengawal keselamatan berada di premis terbabit.

"Siasatan awal mendapati lima suspek meluru masuk ke dalam kedai emas sebelum memecahkan cermin ruang pameran manakala, lima lagi rakan mereka menunggu di luar dengan menaiki beberapa motosikal jenis Yamaha 125Z," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Kata beliau, suspek mengambil masa hanya kira-kira 3 minit bagi melarikan kesemua barang kemas terbabit.

"Kesemua suspek dianggarkan berusia lingkungan 20-an.

"Kita sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam premis berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Ismadi berkata, pemeriksaan pihak forensik turut menemui beberapa bahan bukti termasuk puntung rokok yang dipercayai boleh membantu siasatan kes ini.

"Ada saksi memberitahu terdengar bunyi letupan, namun siasatan awal mendapati tiada unsur senjata api digunakan dalam kes ini dan bunyi itu mungkin berpunca daripada tindakan suspek memecahkan cermin pameran.

"Kita kini sedang menjalankan gerakan memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan," kata beliau lagi.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment