Kenali dan fahami BPH

Friday, December 29, 2017

Kenali dan fahami BPH

Kenali dan fahami BPH

HIPERPLASIA prostatik benigna, yang juga dikenali sebagai BPH, ialah keadaan di mana berlaku pembesaran prostat â€" iaitu kelenjar bersaiz kacang walnut yang berfungsi menghasilkan bendalir yang membawa sperma.

Apabila lelaki mula lanjut usia, kelenjar prostat mereka semakin membesar, perubahan yang boleh dikaitkan dengan perubahan paras hormon. Prostat yang lebih besar boleh memampatkan dan secara beransur-ansur menghalang uretra, lantas menyekat laluan bagi air kencing yang disimpan dalam pundi kencing.

Walaupun pertumbuhan adalah bersifat benigna atau tidak berbahaya, iaitu bukan kanser atau membawa maut, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan kesakitan kepada penghidap.

Nokturia (keperluan untuk membuang air kecil dua kali atau lebih setiap malam), inkontinens (kebocoran air kencing), aliran air kencing yang lemah atau menyakitkan, atau darah dalam air kencing adalah antara gejala saluran kencing bawah (LUTS) memudaratkan yang dialami oleh ramai penghidap BPH.

Kajian juga menunjukkan bahawa kaum lelaki keberatan untuk mendapatkan bantuan perubatan selepas timbul gejala BPH, dengan “harapan bahawa masalah tersebut akan lenyap” dan dikenal pasti sebagai sebab utama mereka melengahkan kunjungan ke klinik untuk berjumpa dengan doktor.

Masalah Sejagat

BPH merupakan masalah sejagat yang meluas, dengan 612 juta kes dijangka berlaku di seluruh dunia menjelang 2018. Kelazimannya kian meningkat apabila lelaki semakin tua, dengan anggaran kira-kira 50% lelaki berusia antara 51 dan 60 tahun, dan sehingga 90% lelaki berusia lebih 80 tahun mengalami BPH.

Di Malaysia corak yang sama telah dilaporkan; menurut satu kajian yang dijalankan mengenai kelaziman BPH setempat, kira-kira 40% lelaki berusia 50â€"59 tahun menghidap BPH, dan kadar ini meningkat kepada 65.4% lelaki berusia 70 dan ke atas. Walaupun dengan tahap kelaziman  yang tinggi, orang awam rata-rata tidak sedar akan masalah ini, dengan gejalanya diabaikan sebagai satu tanda penuaan yang tidak boleh dielakkan

Pada November lalu, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) dan Persatuan Urologi Malaysia (MUA), menyokong pihak Blue Cap Moment dan juga kesihatan lelaki dengan melancarkan kerjasama unik untuk memberikan penerangan tentang gejala-gejala BPH di Malaysia.

Pelancaran ini menandakan permulaan satu siri inisiatif pendidikan yang ditujukan kepada profesional penjagaan kesihatan dan juga orang awam, dengan matlamat untuk menekankan bahawa apabila menilai prostat anda, lebih besar bukan lebih baik.

Masalah Jangka Panjang

Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Datuk Dr Selvalingam Sothilingam berkata, BPH ialah sejenis penyakit progresif; pada mulanya, gejala mungkin menimbulkan ketidakselesaan dan gangguan kecil sahaja, tetapi boleh mengakibatkan kerumitan jangka panjang yang serius.

“Jika dibiarkan tanpa rawatan, uretra mungkin menjadi tersekat sepenuhnya, keadaan yang juga dikenali pembendungan kencing akut, ini menyebabkan pesakit mengalami risiko kerosakan buah pinggang, jangkitan salur kencing dan batu pundi, sambil menjejaskan kualiti hidup penghidap dengan ketara.

“Lelaki yang berusia 40 tahun dan ke atas, mempunyai sejarah BPH dalam keluarga, menghidap masalah perubatan sedia ada seperti obesity, sakit jantung dan penyakit peredaran darah, dan diabetes jenis 2 atau lelaki yang tidak mendapat senaman yang sepatutnya semuanya mengalami risiko BPH yang lebih tinggi.

“Dengan menyediakan alat yang diperlukan untuk membuat diagnosis tepat menerusi program pemeriksaan yang kami anjurkan, kami boleh melengkapkan profesional penjagaan kesihatan dengan keyakinan dan kaedah untuk menangani BPH secara proaktif bagi kumpulan ini untuk mengurangkan keberatan hati pesakit,”ujarnya.

Sementara itu,Pengarah Unit Perniagaan, Produk Klasik dan Mapan, GSK Pharmaceutical Sdn Bhd, Ramesh Balakrishnan menjelaskan menerusi usaha sama ini, GSK berbangga untuk merintis jalan dalam bidang kesihatan lelaki.

“Kerjasama ini merupakan perbincangan di peringkat nasional tentang BPH dan mengurangkan stigma yang dikaitkan dengan gejalanya,” jelasnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment