Wartawan Malaysia ditahan di Myanmar selamat tiba di Singapura

Saturday, December 30, 2017

Wartawan Malaysia ditahan di Myanmar selamat tiba di Singapura


SINGAPURA: Penerbit filem dokumentari dari Malaysia Mok Choy Lin dan jurukamera warga Singapura Lau Hon Meng tiba di sini petang Jumaat dari Yangon, di mana mereka menghabiskan masa dua bulan dipenjara Myanmar, demikian dilaporkan media tempatan di sini.

"Mereka dibebaskan pada 7 pagi, dan kedua-dua wartawan asing itu diiring pegawai Imigresen ke Lapangan Terbang (Yangon)," kata peguam bela Khin Maung Zaw yang dipetik sebagai berkata oleh The Straits Times.

Menurut laporan itu, Mok, 47, seorang penduduk tetap Singapura, meninggalkan Lapangan Terbang Changi tanpa bercakap dengan media.
Kedua-dua wartawan yang bekerja dengan Turkish Radio and Television (TRT) dijatuhi hukuman penjara dua bulan atas kesalahan yang dilakukan mengikut Akta Aerodrom Myanmar 1934.

Mereka ditahan pada 27 Okt oleh pihak berkuasa Myanmar atas dakwaan membuat rakaman video bangunan Hluttaw (bangunan Parlimen) di Nay Pyi Taw, menggunakan dron tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.

Mereka disabitkan atas kesalahan itu pada 10 Nov dan sepatutnya menjalani hukuman itu sehingga 9 Jan.

Menurut laporan media asing, tuduhan itu digugurkan kerana mereka tidak bermaksud untuk membahayakan keselamatan negara.

Tambahan pula, Myanmar mahu memperbaiki hubungan dengan Singapura dan Malaysia, kata laporan itu.

-- BERNAMA

sumber: astroawani

0 comments:

Post a Comment