Didik Perlembagaan Persekutuan seawal prasekolah

Friday, December 29, 2017

Didik Perlembagaan Persekutuan seawal prasekolah

Didik Perlembagaan Persekutuan seawal prasekolah

KUALA LUMPUR: Pendidikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara harus bermula dari tahap prasekolah.

Ini kerana subjek itu adalah tunjang kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan saling hormat menghormati.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pengenalan kepada subjek itu dapat mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

"Penerapan nilai positif dan murni yang ditekankan dalam prinsip Rukun Negara dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan juga perlu berterusan sehingga ke peringkat universiti melalui kaedah lebih interaktif.

"Apa yang lebih penting semua nilai positif dan murni ini perlulah diamalkan sejak kecil sehingga ia menjadi budaya yang sinonim dengan masyarakat majmuk Malaysia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lam Thye berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini mengenai pentingnya masyarakat negara ini memahami sejarah dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijunjung semua pihak dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Katanya, semua pihak perlu didedahkan dengan Perlembagaan Persekutuan serta sejarah negara sejak peringkat prasekolah agar mereka memahami dan menghormati hak, kepercayaan dan amalan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa.

Ia juga akan membantu pelajar untuk memahami proses pembentukan negara dan perlembagaan agar mereka dapat mengambil iktibar daripada sejarah dan tidak mengulangi kesilapan yang menyebabkan negara menjadi mangsa penjajahan.

"Bagi peringkat awal alam persekolahan, pendedahan ini perlu dilaksanakan secara kreatif agar tidak membosankan dan mudah difahami anak-anak kecil.

"Penggunaan teknologi terkini seperti pendekatan multimedia interaktif perlu ditingkatkan dengan kerjasama pakar daripada institusi pengajian tinggi dan agensi terbabit.

"Kanak-kanak sangat mudah menerima apa yang diajar dan diterapkan di peringkat awal pembesaran mereka dan sudah tentu pendedahan yang menarik mengenai Perlembagaan Persekutuan dan sejarah negara akan tersemat di sanubari mereka sehingga dewasa," katanya.

Lam Thye berkata, dengan kesedaran dan pemahaman yang tinggi mengenai perlembagaan dan sejarah negara, anak-anak kita akan sentiasa menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang unik yang mana rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama mampu hidup aman dan saling menghormati.

Sebagai contoh, majlis perayaan satu kaum tertentu turut diraikan oleh kumpulan etnik yang lain.

Ini telah menjadikan perayaan itu diraikan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

"Kita perlu ingat, proses membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan kumpulan etnik seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah kunci kepada keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Menghormati budaya dan agama etnik lain menjadi ciri kepada masyarakat berbilang kaum.

Adalah menjadi kewajipan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk terus mengekalkan tanggungjawab ini melalui pengamalan kelima-lima prinsip Rukun Negara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment