SEKOLAH Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, Kota Bharu menampilkan kelainan apabila membawa karakter kartun Kungfu Panda, Po dan badut pada hari pertama persekolahan, hari ini.
'Taktik' itu berjaya berjaya menarik perhatian kira-kira 1,400 murid sekolah itu yang memulakan persekolahan sesi 2018.
Guru Besarnya, Ahmad Shahir Muhammad berkata, setiap tahun pihaknya mengadakan gimik seperti itu bagi mengalu-alukan kehadiran semua murid terutama murid tahun satu pada hari pertama persekolahan.
Katanya, sejak tiga tahun lalu pelbagai gimik dibuat dan ia sudah menjadi tradisi untuk sekolah ini yang dimulakan oleh bekas Guru Besar sekolah ini, Seri Dewi Mohd Ibrahim.
"Gimik itu dibuat bagi menghilangkan rasa takut atau gementar murid tahun satu yang biasanya masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
"Kita lihat konsep gimik sebegini sangat berkesan dan berjaya menarik minat murid untuk memulakan persekolahan dan ia akan diteruskan untuk tahun akan datang dengan tema berbeza," katanya, hari ini.
Tahun lalu, sekolah sama menampilkan watak adiwira Batman dan Kamen Rider.
Seorang murid tahun satu, Afham Qhalish Norazril, 7, berkata watak Po Kungfu Panda memang amat digemarinya dan dia berasa sangat seronok dapat melihatnya dengan lebih dekat.
"Sebelum ke sekolah hari ini, saya berada sedikit takut namun selepas melihat Po berada di kawasan sekolah saya perasaan itu terus hilang.
"Persembahan badut juga amat menyeronokkan dan saya sangat gembira hadir ke sekolah hari ini," katanya.
sumber: hmetro
0 comments:
Post a Comment