Dr Mahathir hanya PM boneka
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, akan hanya menjadi perdana menteri boneka dan terpaksa mengikut telunjuk orang lain, jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata adalah mustahil PPBM bertanding lebih banyak kerusi berbanding parti pembangkang lain terutama DAP dan PKR yang menyebabkan Dr Mahathir dikawal pemimpin dua parti terbabit.
Katanya, ini diakui sendiri Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam ucapan beliau bahawa Dr Mahathir layak jadi Perdana Menteri walaupun PPBM tidak menang kerusi terbanyak dalam pakatan pembangkang.
"Hakikatnya rakyat mesti faham bahawa PPBM bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya, tetapi berangan mahu melantik pemimpinnya menjadi Perdana Menteri.
"Kegagalan memenangi banyak kerusi dengan sendirinya menyebabkan PPBM gagal memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan Bumiputra dalam perjuangan blok pakatan pembangkang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN). Ini menyebabkan PPBM mengikut telunjuk parti lain.
"Jadi bagi Melayu dan Islam, kalau DAP menentang Islam, PKR membawa semangat kesamarataan, PAN dengan liberalnya, maka di mana akhirnya agenda Melayu serta Bumiputra dan Islam?" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas cadangan PPBM dalam perhimpunan agung tahunannya semalam, mahu Dr Mahathir dipilih sebagai perdana menteri, biarpun parti itu baru ditubuhkan dan tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong, berkata Perhimpunan Agung Tahunan PPBM hanya bermatlamat mengelak pembatalan pendaftaran parti itu, sekali gus layak bertanding dalam PRU-14 bersama DAP, PKR dan PAN,
Katanya, parti itu ditubuhkan hanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan digantikan Dr Mahathir dan tiada agenda lain.
"Sebab itulah bagi saya PPBM tidak lebih daripada hanya bagi melunaskan dendam Dr Mahathir dan beberapa lagi pemimpinnya kepada UMNO khususnya Najib," katanya.
Mengenai permohonan maaf Dr Mahathir, Shamsul Anuar berkata, ia menjurus kepada usaha beliau memohon maaf hanya kepada DAP dan PKR dalam usaha menarik simpati mereka kepadanya, apatah lagi beliau tidak mendapat sokongan muktamad dua parti itu sebagai calon PM.
"Maknanya, tiada keikhlasan dalam permohonan maaf Dr Mahathir, ia retorik semata-mata dan hanya mahukan simpati apatah lagi sikapnya yang tidak akan mengaku salah atas setiap perbuatannya termasuk isu Memali yang secara tiba tiba menyalahkan mufti punca peristiwa berkenaan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment