Misi bantuan mangsa Tembin tiba

Friday, December 29, 2017

Misi bantuan mangsa Tembin tiba

Misi bantuan mangsa Tembin tiba

SANDAKAN: Kapal Diraja (KD) Kedah, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa ribut tropika Tembin tiba di Naval Station Romulo Espaldo, Zamboanga City, semalam.

Misi itu yang membawa kira-kira 30 tan keperluan makanan asas seperti beras, gula, teh, susu dan makanan dalam tin, diketuai Panglima Wilayah Laut Dua TLDM, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob.

Ketibaan kapal peronda TLDM itu disambut oleh Team Site Leader TS-3 Malaysia International Monitoring Team 12, Kolonel Mohd Fazly Mat Said dan Pegawai Kementerian Luar Negeri, Mohd Ariff Mohd Ali yang bertugas di wilayah selatan Filipina.

Sempena misi itu, Abdul Rahman melakukan kunjungan hormat terhadap Commander Naval Forces Western Mindanao, Rear Admiral Rene V Medina AFP dan Commander Western Mindanao Command, Leftenan General Carlito G Galves Jr AFP.

Pertemuan itu membincangkan pelbagai perkara yang meliputi keadaan terkini mangsa ribut tropika Tembin dan aspek keselamatan di perairan selatan Filipina.

Penyerahan bantuan disampaikan Abdul Rahman kepada Ketua Pejabat Pertahanan Awam Filipina, Manuel Ochotorena dan Penolong Pengarah Wilayah, Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan Filipina, Riduan Hadjimuddin di geladak penerbangan KD KEDAH.

Ribut tropika Tembin yang melanda selatan Filipina pada 22 Disember hingga 24 Disember lalu menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh terutama di bandar Tubod dan Piagapo yang terletak di daerah Lanao, Mindanao.

Selain kapal TLDM, misi menghantar bantuan bekalan makanan asas ke selatan Filipina juga menggunakan pesawat C130-Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan ia dijangka tiba di Zamboanga, hari ini.

Pengumpulan bantuan untuk misi itu turut dilakukan Markas Angkatan Petugas 450, Kota Belud selaku penyelaras bagi kem Tentera Darat di sekitar Kota Kinabalu, manakala Rejimen ke-22 Askar Melayu Diraja di Kem Sri Kinabatangan bagi kawasan pantai timur Sabah.

Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM di Kota Kinabalu dan Markas Wilayah Laut Dua TLDM di Sandakan pula dijadikan sebagai pusat untuk pengumpulan bantuan kemanusiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment