Qobin berjaya keluar dari Union Glacier
PUTRAJAYA: Penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, yang menamatkan misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan berjaya dibawa keluar dari Union Glacier, Antartika dan selamat tiba di Puntas Arenas, Chile kira-kira jam 8 malam tadi.
Penasihat Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, berkata setelah berjaya menamatkan misi itu pada Khamis lalu, Qobin terkandas selama dua hari di Union Glacier akibat cuaca buruk yang menyebabkan pesawat tidak boleh beroperasi sama ada untuk mendarat atau berlepas.
"Pesawat dapat berlepas ke Union Glacier susulan keadaan cuaca yang tiba-tiba baik di Antartika hari ini. Qobin berjaya dibawa keluar dengan keadaan selamat dan tidak terkandas lama di benua Antartika.
"Kini kami sedang mengatur penerbangan Qobin dari Puntas Arenas ke Santiago, Chile. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan mendoakan kejayaan Qobin yang berjaya menamatkan misinya dalam tempoh enam hari.
"Terima kasih juga atas doa semua sehingga Qobin berjaya dibawa keluar hari ini dan tahniah kepada pasukan KE7B yang menguruskan ekspedisi ini sejak awal," katanya.
Dengan kejayaan itu, Qobin akan diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia, yang mendapat pengiktirafan itu.
Untuk bergelar Penjelajah Grand Slam, Qobin mengambil masa 13 tahun untuk menyelesaikan tujuh pendakian gunung tertinggi di tujuh benua dan menakluk kutub utara dan kutub selatan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment