Malaysia sertai dunia sambut 2018 dengan kemeriahan

Sunday, December 31, 2017

Malaysia sertai dunia sambut 2018 dengan kemeriahan

Malaysia sertai dunia sambut 2018 dengan kemeriahan

KUALA LUMPUR: Percikan bunga api berwarna-warni menghiasi ruang angkasa ibu negara dan beberapa lokasi di seluruh Malaysia sebaik sahaja jarum jam melepasi 12 tengah malam, sekali gus menandakan bermulanya tahun baharu 2018.

Malaysia menyertai dunia menyambut kedatangan tahun baharu dengan suasana yang cukup meriah dengan beberapa acara diadakan di seluruh negara yang disertai ribuan rakyat berbilang kaum dan agama.

Di ibu negara, ribuan termasuk pelancong asing menyambut 2018 di beberapa lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang, Menara Kuala Lumpur dan Mutiara Damansara Commercial Centre (MDCC).

Orang ramai mula membanjiri kawasan berkenaan seawal 8 malam yang sebelum itu dihiburkan dengan pelbagai persembahan yang disediakan penganjur daripada pihak swasta seperti pancuran air bercahaya dan konsert.

Bersama kegembiraan dan sorakan Selamat Tahun Baharu dan Happy New Year yang mengiringi kedatangan 2018, tersemat 1,001 pengharapan dalam kalangan rakyat agar tahun ini menjadi lebih baik berbanding tahun lepas.

Pekerja swasta, Muhammad Afiq Syahmi, 25, yang ditemui Bernama di Bukit Bintang di sini berkata bagi tahun 2018 beliau berharap agar ekonomi negara akan bertambah stabil dan kukuh dalam semua sektor dalam negara.

"Sekarang pun kita sudah dapat menyaksikan pemulihan mata wang ringgit. Kita harap perkara ini boleh berterusan tahun hadapan bagi membawa negara setanding dengan kuasa ekonomi dunia yang lain," katanya.

Pegawai perhubungan awam, Lee Pei Yuenn, 26, berkata tahun 2018 diharap dapat membuka satu lembaran baharu dalam memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

"Kita sudah hidup dalam masyarakat besar sejak dulu lagi dan baru-baru ini kita semua tahu ada pihak yang cuba mengganggu perpaduan ini, tahun 2018 kita harap rakyat lebih sensitif mengenai perkara yang membabitkan kaum dan agama," katanya.

Sambutan tahun baharu di MDCC dimulakan dengan MDCC Fun Run Countdown Run sejauh 5 km pada 9 malam dan peserta mengenakan baju berwarna oren terang untuk memeriahkan parti 2018 MDCC Annual Countdown Party yang terletak di antara IKEA dan The Curve, sebelum menunggu acara kemuncak persembahan bunga api terbesar selama 10 minit sebaik sahaja tengah malam.


PERTUNJUKAN bunga api memeriahkan suasana di Putrajaya sempena sambutan Tahun Baharu 2018. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Di PUTRAJAYA, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan bermandikan cahaya dengan pertunjukan bunga api digital menghiasi bangunan Istana Kehakiman, sekali gus menghiburkan kira-kira 50,000 pengunjung yang hadir meraikan malam detik Ambang Tahun Baharu 2018.

Pertunjukan bunga api digital menggunakan teknik kreatif, resolusi tinggi dan sistem bunyi serta kandungan visual yang dipancarkan serentak dengan tembakan bunga api secara langsung mengambil masa lima minit itu diadakan sempena penutupan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) yang berlangsung di Dataran Putrajaya sejak Khamis lalu.

Penutupan acara bertujuan mempromosikan Putrajaya sebagai bandar perintis di Malaysia yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik khususnya dalam aspek penggunaan teknologi terkini dan penjimatan tenaga itu diserikan dengan kehadiran Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail.

Di MELAKA, Sambutan Ambang Tahun Baharu 2018 diadakan di Dataran 1Malaysia Klebang yang dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan disertai ribuan rakyat di negeri itu.


PENGUNJUNG gembira meraikan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2018 di tepi pantai Dataran 1Malaysia, Klebang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber


SHAFIQAH Nur Athirah Hassan, 18, (kiri), Shafiqah Nur Munirah Hassan, 11, (tiga dari kiri) dan Shafiqah Nur Zulaikha Hassan (dua dari kanan) dan rakan-rakan bersama meraikan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2018 di Dataran 1Malaysia, Klebang. - Foto Khairunisah Lokman

Antara aktiviti yang disediakan ialah pertandingan sukan rakyat, kejohanan Muay Thai, demo memasak, persembahan artis jemputan, persembahan kebudayaan, pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Melaka 2018 dan pertunjukan bunga api.

Idris dalam ucapannya, berkata rakyat Melaka perlu meningkatkan iltizam, membina keazaman dan keyakinan diri demi mencapai matlamat ke puncak jaya serta menjadikan tahun 2018 lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Di SEREMBAN, kira-kira 5,000 orang menghadiri sambutan tahun baharu Negeri Sembilan Fest 2017 anjuran Persatuan Karyawan Negeri Sembilan, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan GIG Technology yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi.

Negeri Sembilan Fest 2017 yang berlangsung sejak Jumaat lepas turut menyediakan 70 khemah jualan selain orang ramai disajikan dengan konsert daripada Najwa Latif, Dva, Sixth Sense dan Slash, sementara menunggu detik 12 tengah malam.


PENGUNJUNG bergambar bersama ketika hadir pada Sambutan Tahun Baharu 2018 di D'Tempat Country Club, Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Di LANGKAWI, Larian Langkawi Fun Nite Run 2017-2018 anjuran Persatuan Pelancongan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memeriahkan sambutan ambang tahun baharu di dengan membabitkan kira-kira 1,000 peserta.

Acara Langkawi International Blues and Roots Aseana (LIBRA), sebuah festival muzik blues pertama di Malaysia melabuhkan tirai dengan membuat kiraan detik ke tahun baharu di Pantai Chenang.

Menyajikan persembahan muzik blues oleh artis dari Malaysia, Singapura dan Australia, acara yang dianjurkan bersama LADA, Itos Cottage Music dan SB Explorer Sdn Bhd itu bermula sejak Jumaat lalu dan menarik lebih 3,000 orang muzik genre blues dari dalam dan luar negara.

Di TERENGGANU, konsep sambutan Malam Ambang Tahun Baharu 2018 anjuran kerajaan negeri kali ini diadakan penuh kesederhanaan dan pengisian ke arah kerohanian di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, berbanding sambutan penuh warna-warni pada tahun sebelumnya.


MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (empat dari kanan) bersama pegawai kanan dan jemaah melakukan solat hajat pada Program Ambang Tahun Baharu 2018 peringkat negeri Terengganu di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto Rozainah Zakaria


ANTARA jemaah yang hadir untuk solat hajat pada Program Ambang Tahun Baharu 2018 peringkat negeri Terengganu di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto Rozainah Zakaria

Ambang tahun baharu diisi dengan acara solat hajat perdana, forum agama dan persembahan nasyid daripada kumpulan Far East serta kumpulan Selawat yang bermula pada 10 malam dan dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Wan Nawawi Wan Ismail serta barisan exco kerajaan negeri.

Di KUCHING, sambutan ambang tahun baharu dirai meriah di Tebingan Sungai Kuching (Kuching Waterfront) seawal pukul 8 malam tadi dengan persembahan pentas yang bertenaga.

Selain, persembahan muzik, pentas persembahan itu yang dibangunkan sejak semalam lagi turut menyajikan persembahan tarian-tarian tradisional, moden dan juga pertunjukan fesyen untuk menghiburkan ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan pentas, walaupun dalam keadaan hujan renyai pada awalnya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg tiba di kawasan pentas persembahan sekitar pukul 10.30 malam dengan diiringi Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan beberapa menteri Sarawak.

Dalam ucapannya di majlis itu, Abang Johari melahirkan azam untuk melaksanakan semua polisi yang dirangka kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak pada tahun baharu ini, dalam memenuhi harapan untuk melakar laluan ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi 2030.


KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Ambang Tahun Baharu 2018 dengan persembahan bunga api di pekarangan Jambatan Darul Hana Tebingan Kuching. - Foto Nadim Bokhari


KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kabinet hadir melancarkan Majlis Ambang Tahun Baharu 2018 di Tebingan Kuching serta persembahan bunga api. - Foto Nadim Bokhari

Acara sambutan berakhir seperti biasa dengan kiraan detik ketibaan tahun baharu, disusuli pertunjukan bunga api yang bergemerlapan menghiasi angkasa, menjadi latar indah yang menghiasi mercu tanda ikonik Bangunan Dewan Undangan Negeri di pinggir sungai itu. - BERNAMA



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment