Waspada fitnah saat akhir pembangkang - Ahmad Zahid

Sunday, April 8, 2018

Waspada fitnah saat akhir pembangkang - Ahmad Zahid

Waspada fitnah saat akhir pembangkang - Ahmad Zahid

KUALA KANGSAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap sedia dan berwaspada dengan serangan mengejut saat akhir atau 'surprise last minute attack' (SLMA) pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang akan mencipta pelbagai fitnah untuk melemahkan BN dan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kita lihat dari segi realiti, apabila pilihan raya umum diadakan isu yang tidak pernah timbul (sebelum ini), perkara yang tidak pernah muncul, masalah peribadi calon terutamanya yang tidak ada, ...diwujudkan (pembangkang).

"Kenapa? Kerana pihak pembangkang mencari isu untuk melemahkan semangat kita, untuk menjatuhkan calon kita dan untuk menjatuhkan kerajaan, kerja pembangkang adalah untuk membangkang, ...kerja kita bukan memanjangkan cerita dan isu yang dicipta dalam kalangan kita yang akhirnya menyebabkan berlaku pergolakan dalaman.

"Kita hilang kepercayaan dalam kalangan kita dan kita merasakan diri kitalah yang paling layak menjadi calon dan orang lain semuanya tak layak," katanya berucap pada Program Lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, masalah membabitkan serangan fitnah saat akhir itu seharusnya ditangani dengan bijak oleh jentera BN.

Katanya, apa yang menjadi masalah, berita fitnah tidak benar itu kadangkala disebarkan sendiri dalam kalangan jentera yang akhirnya menguasai minda dan hati sedangkan ia tidak benar.

"Kita (akhirnya) tidak bersedia untuk menjawab 'surprise last minute attact atau SLMA, ..mereka sedang mencipta fitnah tohmahan dan serangan sebagai satu ledakan bom yang akhirnya bertujuan untuk mengalihkan pandangan kita dan pandangan pengundi kita.

"Saya cuba mengingatkan pada PRU yang lalu mereka (pembangkang) mengatakan bahawa (terdapat) 40,000 pengundi Bangladesh yang hendak dibawa dengan 100 jumbo jet ke negara kita, yang jelas ia memang tidak ada dan kita sibuk, ...dan di saat akhir tidak ada siapa pun yang jawab dan persepsi pengundi kata ini penipuan yang dilakukan kerajaan BN (sebenarnya) ternyata tiada," katanya.

Ahmad Zahid berkata, dengan pengaruh sosial media yang semakin meluas ketika ini, pembangkang pasti akan mewujudkan SLMA dan ia akan tersebar di seluruh negara.

Beliau berkata, justeru semua rakyat dan jentera BN diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan SLMA yang pada bila-bila masa sahaja akan diletupkan pembangkang untuk mempengaruhi pemikiran rakyat dan pengundi.

"Kita harus menilai sebarang SLMA, kerana itu adalah perang psikologi yang sedang diserang dan diciptakan oleh mereka (pembangkang) untuk melemahkan semangat kita.

"Saya ingin ingatkan jentera BN di Perak dan di seluruh negara supaya bersiap siaga bagi menghadapi serangan ini, tetapi yakin dan percaya biarlah datang serangan itu bertubi-tubi jika kita mempunyai istiqamah tinggi dan daya tahan serta juang yang tinggi, datanglah serangan apa pun kita tolak serangan itu," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment