Rantau Panjang sudah dinaiki air, penduduk berpindah
RANTAU PANJANG: Pekan Rantau Panjang mula dinaiki air menyebabkan penduduk di kawasan sekitar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas Sungai Golok melimpah sejak jam 1 tengah hari tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat membantu lebih 50 mangsa dari Kampung Kubang Chenok dan Jalan Sekolah Cina, di sini dengan menaiki lori ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi.
Mangsa, Mariam Rahman, 51, berkata dia sekeluarga berpindah ke tempat selamat selepas rumahnya mula dinaiki air sejak awal pagi tadi hingga mencecah hampir 0.5 meter.
Mariam berkata, suaminya Muda Salleh, 85, mula mendapatkan bantuan dan berjaya menahan lori bomba untuk bantuan.
"Saya dan suami sudah tua dan tidak berdaya selain tidak ada kenderaan sendiri untuk berpindah. Sekarang kami hanya reda dengan barangan dan perabot yang masih ada di rumah.
"Apa yang penting, kami sudah menyelamatkan dokumen penting daripada ditenggelami banjir serta berpindah ke tempat selamat.
"Saya bersyukur kerana dapat berpindah awal memandangkan suami menghidap darah tinggi dan mempunyai masalah pendengaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Adni Ibrahim berkata, beberapa kawasan dinaiki air termasuk Kubang Kuai, Tasik Bakong dan pekan Rantau Panjang.
Katanya, air naik mendadak selepas paras air Sungai Golok melebihi bacaan 10 meter sejak awal pagi tadi.
"Kita membuat rondaan bagi memindahkan mangsa yang terkandas selepas rumah mereka dinaiki air sejak 12 tengah hari.
'Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART)," katanya ketika ditemui selepas meninjau dan menyelamatkan mangsa banjir, hari ini.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment