Perumahan jadi agenda utama BN

Friday, April 6, 2018

Perumahan jadi agenda utama BN

Perumahan jadi agenda utama BN

ASPEK perumahan menjadi agenda utama yang akan diberi perhatian Umno Bahagian Kuala Terengganu sekiranya parti itu diberi mandat mentadbir Parlimen Kuala Terengganu pada PRU14.

Ketuanya, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, pihaknya sedar masalah membelenggu rakyat Kuala Terengganu khususnya golongan muda yang mahukan rumah sendiri, dan kerajaan berusaha untuk menunaikan impian mereka.

Menurutnya, beberapa lokasi sesuai sudah dikenal pasti  untuk dijadikan kawasan perumahan bagi memenuhi keperluan rakyat di daerah ini.

“Kita jangka dapat sediakan 1,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan sederhana dalam tempoh dua tahun dan dengan izin ALLAH ia dapat dilaksanakan sebab tanah kerajaan masih ada yang kosong,” ujarnya.

Katanya, beliau berusaha membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, namun peranan itu terbatas kerana BN tidak dipilih sebagai wakil rakyat bagi membela nasib dan keperluan masyarakat daerah Kuala Terengganu.

Katanya, setiap ahli parlimen diberikan peruntukan oleh Kerajaan Pusat untuk dimanfaatkan oleh rakyat di kawasan tersebut.

“Tapi Kuala Terengganu tidak ada bajet itu. Kita juga cuba bantu, namun suara kita tidak sampai ke peringkat Pusat ekoran tidak ada wakil kerajaan di Parlimen, begitu juga peringkat Dun tidak ada wakil kerajaan di sana.

“Oleh itu, saya harap ada perubahan pada masa akan datang di Parlimen Kuala Terengganu supaya rakyat di sini mendapat manfaat sewajarnya daripada kerajaan sama seperti kawasan pimpinan kerajaan BN lain,” katanya.

Mengulas perkembangan politik, Mohd Sabri yang juga Pegawai Penyelaras Dun Ladang berkata, beliau terpaksa bertegas untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli parti yang cuba sabotaj calon BN pada PRU14.

Ketegasan itu ekoran beberapa individu disyaki ‘cah keting’ calon dipilih BN pada PRU13 dilihat bebas bergerak dalam parti tanpa sebarang tindakan sewajarnya.

“Saya tidak mahu perkara seumpama ini masih berlaku dan saya telah keluarkan amaran tegas demi kemenangan BN,” katanya.

Beliau turut menyatakan, Umno Bahagian Kuala Terengganu telah melakukan gerak kerja membantu rakyat sejak empat tahun lalu walaupun parti itu tidak dipilih sebagai wakil rakyat, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk menang.

“Ini bukan cerita angan-angan kerana kita nampak arus perubahan di bawah (pengundi),” katanya.

#PRU14 #kuasarakyat



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment