Noh dakwa krisis air punca pelaburan merosot
PETALING JAYA - Krisis air di Selangor penyumbang utama kejatuhan pelaburan di Selangor yang kini berada di tangga keempat selepas Johor, Sarawak dan Pulau Pinang.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan negeri gagal menguruskan negeri dengan baik.
Menurutnya, kerajaan BN memerlukan kos yang besar untuk memulihkan Selangor atas kerosakan yang dilakukan Pakatan Harapan (Harapan)
"Kerajaan negeri tak pandai menguruskan isu air, stadium, hotel, sampah dan kompleks belia serta negeri. Uruskan bil air pun tak pandai menyusahkan rakyat guna sistem pos tapi bil tak sampai rumah, tahu-tahu bil air kena potong.
"Cukup-cukuplah dua kali rakyat terpedaya dengan janji manis pembangkang yang hanya tahu bagi harapan tapi bila lepas dua penggal tukar kawasan," katanya dalam Program Rakyat Sejahtera Taman Medan Parlimen Petaling Jaya, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mempersoalkan hasil kutipan wang bil air yang tidak dijelaskan kepada Splash.
"Mereka kutip bil air tapi tak bayar bil tersebut kepada Splash sehingga tunggakan mencecah RM4.22 bilion jadi kita persoalkan mana perginya wang itu.
"Jumlah itu tak mampu dijelaskan dengan rizab negeri yang hanya RM4 bilion sekiranya Splash menang tuntutan saman terhadap Syabas," katanya berpegang dengan kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini mengenai kerajaan negeri bakal bankrup jika Splash menang tuntutan saman RM4.22 bilion.
Beliau turut menidakkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini menyatakan tuntutan saman antara Splash dan Syabas tidak melibatkan kerajaan negeri.
"Syabas adalah milik kerajaan negeri berdasarkan perjanjian pengambilalihan industri air di Selangor dan Azmin adalah Pengerusi Syabas.
"Lagi lambat BN ambil alih Selangor lagi banyak kos yang kita kena tanggung. Jika BN menang pengurusan jadi lebih baik dengan sokongan kerajaan persekutuan melalui tabung-tabung yang disediakan," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment