Manifesto BN realistik untuk dilaksanakan

Sunday, April 8, 2018

Manifesto BN realistik untuk dilaksanakan

Manifesto BN realistik untuk dilaksanakan

KUALA LUMPUR - Pemimpin BN yakin semua perancangan yang terkandung dalam manifesto yang dilancar pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak semalam adalah realistik untuk dilaksanakan kerana telah mengambil kira kemampuan kerajaan ketika ini yang diterajui parti itu.

Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata aku janji BN itu telah direncana menerusi kajian dan penyelidikan terperinci melibatkan  semua pihak termasuk kementerian, dengan  mengambil kira semua perkara termasuk kehendak negeri dan kemampuan kerajaan.

“Hasil daripada kajian serta penyelidikan diserahkan untuk diperhalusi oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Ketua Komunikasi Strategik BN),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan karnival anjuran Kolej Sidma Sarawak dan Kawasan Rukun Tetangga Kampung Sejingkat Hilir, di Kuching hari ini.

Sependapat dengannya ialah Menteri  Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi UMNO negeri Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan segala janji di dalam manifesto itu sebagai  praktikal dan yakin ia tidak  akan mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi negara jika dilaksanakan.

“Bidang  saya ialah bidang ekonomi. Macam mana kita dapat  pendapatan itu satu perkara, satu perkara lagi dan yang penting ialah bagaimana kita mahu mengagihkan kekayaan itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Bandar Sri Sendayan, di Seremban hari ini.

Turut bersetuju, Pengerusi Kelab Penyokong BN Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang berkata bahawa kajian antara lain, terhadap hasil sumbangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan juga telah diambil  kira bagi mengukur kemampuan negara dalam melaksanakan setiap aku janji yang telah diumumkan.

“Berbeza  dengan pembangkang, manifesto mereka tidak ada yang boleh orang ambil serius. BN pula manifestonya boleh dan mampu dilaksanakan. Ia bukan soal populis, ” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Olympiad Sains dan Matematik 2018 di SMK Bandar Baru Uda di Johor Bahru, hari ini.

Shahrir  yang juga Pengerusi Felda berkata perancangan BN untuk memberikan geran tanam semula  berjumlah RM7,500 per hektar  kepada para peneroka Felda contohnya, akan secara langsung menghapuskan sebanyak 75 peratus beban hutang golongan berkenaan.

Selain itu, Shahrir  berkata satu lagi aku janji BN yang menarik dan bakal memberi impak tinggi adalah pengenalan dasar penjagaan kanak-kanak universal bagi mengurangkan beban terutamanya pasangan muda untuk menghantar anak-anak mereka ke taman asuhan (taska).

Katanya, program seumpama itu turut dijangka dilancarkan di kawasan parlimennya selewat-lewatnya Mei ini dengan dana sebanyak RM500,000 sebulan, iaitu subsidi sebanyak RM150 sebulan akan diberikan kepada pasangan muda untuk menghantar anak mereka ke taska berdaftar  dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk  Rozman Isli yang gembira pembinaan jambatan itu menjadi sebahagian daripada manifesto tersebut, percaya janji itu akan dapat dilaksanakan berdasarkan rekod prestasi parti.

“Ia adalah manifesto yang komprehensif, inklusif dan progresif yang menawarkan banyak kebaikan untuk rakyat Malaysia dan negara keseluruhannya, dan kami mahu pengundi meneliti setiap janji yang tersenarai dalam manifesto, untuk masa depan kita,” katanya kepada Bernama.

Mengulas perkara sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pelbagai aku janji yang disenaraikan bagi meningkatkan taraf  ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, selain memberi  tumpuan khusus untuk setiap negeri, menjadikan ia satu manifesto yang terperinci.

Ketua Pemuda UMNO Pahang Mohd Shahar Abdullah pula menyifatkan manifesto itu sebagai tepat pada masanya dan memenuhi  cita rasa anak muda.

“Manifesto BN adalah pragmatik dan praktikal atas prestasi aku janji yg dibuat pada tahun 2013 apabila 99.4 peratus berjaya dilaksanakan,” katanya.

Bagi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Salak berkata pengumuman pembinaan sebuah  lapangan terbang baharu di Seri Iskandar merupakan satu daripada pembangunan sosial baharu yang dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di Perak khususnya, kawasan luar daripada Bandaraya Ipoh.

“Ini adalah satu projek bermakna kepada negeri Perak yang pelancong boleh terus datang melalui lapangan terbang itu nanti dan saya sangat berharap ada beberapa laluan antarabangsa dapat diwujudkan,” katanya dan menambah bahawa ia juga bakal merancakkan lagi sektor ekonomi tempatan dan menarik pelabur asing.

Selain itu, pengumuman pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan terus Tepoh di Kuala Nerus, Terengganu ke Kelantan turut dianggap satu keuntungan terutama, bagi penduduk di Wilayah Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan.

Mengulas mengenai aku janji itu, Adun Jabi, Iskandar Jaafar berkata pembinaan lebuh raya itu sudah tentu akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Terengganu yang hampir 75 peratus daripada laluan yang terlibat adalah di negeri berkenaan iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

Anggota Dewan Negara Senator Engku Naemah Engku Taib pula berkata ia menunjukkan bahawa kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ingin menyeimbangkan pembangunan di pantai timur seiring kemajuan  dinikmati penduduk di kawasan pantai barat.

Bagi Ketua Pemuda Umno Besut, Azizul Jasmi Mohamad berkata, pembinaan lebuh raya kira-kira 200 kilometer itu turut perlu dilihat rakyat Kelantan yang berada di bawah pimpinan PAS bahawa BN sentiasa berlaku adil dalam mengagihkan pembangunan dan keperluan kepada rakyat. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment