LPT3 mampu rancak ekonomi Terengganu

Saturday, April 7, 2018

LPT3 mampu rancak ekonomi Terengganu

LPT3 mampu rancak ekonomi Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan terus Tepoh di Kuala Nerus ke Kelantan, akan merancakkan lagi ekonomi tempatan, selain menjimatkan masa perjalanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pembinaan LPT3 itu yang terkandung sebagai Manifesto Barisan Nasional (BN) diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi, menjadi bukti BN adalah kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat.

"Ini (pembinaan LPT3) adalah berita gembira buat rakyat Terengganu khususnya penduduk di Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

"Oleh itu, rakyat perlu yakin dan percaya bahawa kerajaan BN diasaskan untuk memberikan kesenangan dan kemakmuran kepada rakyat, bukannya berasaskan dendam dan benci yang akhirnya memakan diri sendiri.

"Kepada rakyat Terengganu, sekiranya diberi mandat sekali lagi kepada kerajaan BN untuk memerintah, sudah pasti pengumuman pembinaan LPT3 menghubungkan Tepoh ke Kelantan akan merancakkan lagi ekonomi tempatan, selain menjimatkan masa perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Ahmad Razif berkata, manifesto diumumkan Najib juga membuktikan kerajaan BN tidak sesekali mengabaikan nasib rakyat daripada setiap golongan.

"Bermula dari Perlis hingga ke Sabah, manifesto itu menekankan setiap inci perihal kebajikan rakyat serta pembangunan negara bagi membolehkan ekonomi negara berada di tahap lebih selesa.

"Kerajaan BN adalah kerajaan yang menepati janji dan tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat seperti dicanang parti pembangkang untuk membeli undi rakyat dan memperdayakan mereka.

"Malah, manifesto yang diumumkan pada pilihan raya umum yang lalu, kerajaan BN sudah berjaya laksanakan.

"Jadi rakyat tidak perlu berasa takut dan ragu-ragu dengan kerajaan BN kerana kita janji, kita umum, kita buat dan kita laksanakan, bukan sahaja untuk kepentingan rakyat, malah untuk pembangunan modal insan serta negara," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment