Kerajaan terus prihatin bantu pesawah

Monday, April 2, 2018

Kerajaan terus prihatin bantu pesawah

Kerajaan terus prihatin bantu pesawah

DAMANSARA - Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin terhadap nasib para pesawah di negara ini dan akan terus memberikan bantuan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan tidak menganggap industri padi sebagai membebankan, malah terus membantu dengan memberikan subsidi besar kepada sektor berkenaan kerana ia antara penyumbang utama makanan negara.

“Orang kata industri padi ini membebankan kerajaan. Dalam Bajet 2018, kerajaan memberikan peruntukan besar dan kebanyakannya adalah subsidi benih serta harga padi.

“Ini tidak dibuat di negara lain. Tetapi kita akan terus memberi bantuan seperti ini kepada pesawah,” katanya berucap pada Anugerah Tani Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) 2018, hari ini.

Pada majlis tersebut, tiga pesawah wanita telah dinamakan sebagai penerima Anugerah Khas Srikandi iaitu satu pengiktirafan khusus bagi menghormati dan menghargai sumbangan kaum wanita di dalam industri.

Mereka adalah Zaliha Abd Rahman, 67,  dari Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Hamisah Hashim, 54, dari Teluk Intan, Perak dan Ngatirah Junet, 42, dari Tanjong Karang, Selangor.

Ketiga-tiga mereka membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 serta trofi dan sijil selain diberikan beberapa imbuhan tambahan termasuk mesin racun, mesin baja dan pam air.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, tindakan kerajaan melantik pengimport tunggal beras di negara ini adalah untuk melindungi beras tempatan, menjamin keselamatan makanan dan memudahkan kawalan kerajaan.

“Oleh itu, hubungan antara Bernas dan rakyat perlu sentiasa diperkukuhkan. Dengan adanya anugerah seumpama ini, ia sekali gus mengiktiraf peranan pesawah untuk terus berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernas, Ismail Mohamed Yusoff dalam ucapannya berkata, pihaknya tidak mungkin berjaya tanpa kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dan kerjasama erat yang diberikan pelbagai agensi dalam industri.

“Banyak yang telah dipelajari dan paling penting adalah pemeliharaan hubungan kerja yang harmoni sesama rakan industri.

“Sebagai penghargaan atas nilai kerjasama tersebut dan mengiktiraf sumbangan serta pencapaian rakan tani negara, kami tampil buat tahun kedua penganjuran Anugerah Tani Bernas 2018,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment