Kerajaan dukung kepentingan wanita

Wednesday, April 4, 2018

Kerajaan dukung kepentingan wanita

Kerajaan dukung kepentingan wanita

AKU JANJI

KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan mengisi 30 peratus wanita dalam proses membuat keputusan, sama ada pada peringkat nasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan mahu pun badan berkanun, bukan lagi cakap kosong.

Dalam tempoh lima tahun, menerusi inisiatif memperkasakan penyertaan wanita, peratusan golongan berkenaan mengisi pengurusan tertinggi kerajaan di peringkat Jusa C dan ke atas, berjaya mencatat 35.6 peratus.

Sebanyak 13.2 peratus pula dilantik sebagai anggota pentadbiran membabitkan jawatan menteri dan timbalan menteri, manakala 20.3 peratus lagi sebagai ahli Dewan Negara.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak, berkata pencapaian itu membuktikan kepemimpinan kerajaan masa ini bukan saja prihatin, malah sangat mendukung kepentingan wanita sebagai pemimpin tertinggi.

"Wanita juga sudah terbukti berjaya menjadi pemimpin berkaliber dan berintegriti, sekali gus membawa impak positif kepada masyarakat dan negara.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh berpeluk tubuh kerana dalam tempoh lima tahun akan datang, kepemimpinan wanita dalam sektor awam mungkin berkurangan jika tiada pemimpin pelapis daripada golongan muda," katanya ketika dihubungi NSTP.

Dr Norizan berkata, peratusan kepemimpinan wanita dalam politik adalah isu serius dan membimbangkan, malah perkara itu turut dibawa hingga ke peringkat antarabangsa.

"Untuk itu, penting bagi Malaysia mempunyai misi dan visi mencapai kesamaan gender dalam Kabinet, dengan menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus atau lebih pencalonan wanita untuk pilihan raya setiap parti yang bertanding," katanya.

Katanya, saranan itu seiring dengan cadangan supaya menambah sokongan kepada pemimpin wanita muda dengan mewujudkan fasiliti seperti Taska dan tempat menyusu di kawasan pentadbiran.

Pada masa ini, kerajaan membina 226 Taska, yang menempatkan 6,061 kanak-kanak di Taska sektor awam dan 1,051 kanak-kanak di Taska sektor swasta.

Kata Dr Norizan, peratusan pengarah wanita juga menunjukkan peningkatan sebanyak 19.2 peratus.

Peningkatan itu sejajar dengan pelaksanaan Program Pengarah Wanita, yang berjaya melatih seramai 831 peserta dan 60 orang daripadanya mendapat tempat serta dilantik di syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Katanya, kadar literasi wanita Malaysia yang berjaya sehingga di peringkat pendidikan tinggi juga mencapai 96.3 peratus.

"Kini, 62 peratus wanita atau 707,888 orang sedang menyambung pengajian di universiti," katanya.

Kerajaan juga tidak melupakan warga emas, ibu tunggal, wanita berpendapatan rendah dan miskin dengan mewujudkan Program Inkubator Kemahiran (i-KIT) dan Program Keusahawanan Wanita (I-Keunita).

Program berkenaan disertai 9,979 wanita dan 1,582 orang daripada jumlah itu berjaya meningkatkan pendapatan sehingga 50 peratus.

Inisiatif program 1AZAM

Sementara itu, melalui inisiatif Program 1AZAM, seramai 53,567 wanita berjaya meningkatkan pendapatan tambahan bulanan mereka melebihi RM300.

Program MamaCare, yang melatih wanita warga emas dan ibu tunggal bagi menjana pendapatan keluarga melalui perkhidmatan penjagaan holistik ibu selepas bersalin secara tradisional dan moden pula berjaya menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM13.9 juta dengan 591 pengamal terlatih.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment