Isu, protes calon BN PRU-14 paling kurang

Thursday, April 26, 2018

Isu, protes calon BN PRU-14 paling kurang

Isu, protes calon BN PRU-14 paling kurang

BAGAN DATUK: Formula baharu penentuan dan pengumuman calon serta tahap persediaan terbaik Barisan Nasional (BN) termasuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan pemimpin menjadi faktor kurangnya masalah timbul selepas diumumkan nama calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sebelum ini sudah membuat pemerhatian di semua negeri dan kawasan berpotensi berlaku masalah berikutan pemilihan calon.

Namun, katanya, selepas pengumuman calon peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tertentu yang menggunakan pendekatan baharu iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi kuasa pengerusi BN negeri mengumumkan semua nama berkenaan, tidak banyak masalah berlaku berbanding PRU terdahulu.

"Ini memperlihatkan semangat kebersamaan bukan hanya dalam kalangan UMNO di semua peringkat tetapi juga kepemimpinan BN dari peringkat presiden parti komponen dan peringkat ketua atau pengerusi parti komponen mengikut negeri serta kawasan Parlimen.

"Ini tidak pernah terjadi dalam sejarah PRU di Malaysia, kini kita lihat kesepaduan cukup jelas kerana kita menyediakan infrastrukturnya lebih awal, termasuk mengadakan latihan perkaderan supaya ada 'chemistry' atau elemen kebersamaan bukan hanya pada kepemimpinan UMNO peringkat Presiden hingga akar umbi, tetapi juga peringkat rakan parti komponen BN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 13 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga calon BN kerusi DUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan calon DUN Hutan Melintang, Datuk Khairudin Tarmizi.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menolak wujud masalah kecil dan sedikit protes kerana mustahil untuk pucuk kepemimpinan tertinggi BN memuaskan 100 peratus hati mereka yang berasakan diri layak bertanding.

Beliau berkata, dalam memilih calon, Perdana Menteri selaku Pengerusi BN sudah mengambil kira semua elemen, bukan hanya laporan dan nama dicadang kepemimpinan kawasan parlimen, malah turut ditapis di semua peringkat termasuk negeri.

Katanya, pada masa sama, BN turut menggunakan agensi bebas melakukan penilaian bukan berdasarkan calon dikehendaki kepemimpinan peringkat Parlimen tetapi turut mengambil kira penerimaan pengundi.

"Sebagai Timbalan Pengerusi BN pusat, saya berpuas hati dengan kesiapsiagaan dan penerimaan calon, biarpun ada sedikit permasalahan kecil, tetapi kita akan segera menyelesaikannya," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment