Enam insentif buat warga Jengka

Monday, April 2, 2018

Enam insentif buat warga Jengka

Enam insentif buat warga Jengka

JENGKA - Pembekuan sementara pemotongan wang tahanan peneroka Felda antara insentif menarik diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Jengka 11, hari ini.

Beliau berkata, pemotongan berjumlah 20 peratus yang dibekukan tersebut akan dikekalkan sehingga Aidilfitri yang tentunya memberikan pendapatan tambahan kepada peneroka wilayah ini.

Beliau berkata, wang tahanan ini merupakan wang yang dipotong daripada peneroka yang menjual sawit ke kilang Felda bagi tujuan memudahkan Felda menolak hutang peneroka seperti Kos Tanam Semula, pinjaman rumah dan lain lain.

Selain itu, katanya, lima insentif lain ialah mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bangunan Warisan  Jengka Holding, peruntukan RM10 juta bagi menaik taraf Hospital Jengka, tambahan peruntukan sistem bekalan air di Wilayah Jengka, pembinaan 660 lot rumah yang akan dijual pada harga RM35,000 seunit untuk generasi kedua di Parlimen Kuala Krau serta peruntukan tambahan RM150 juta untuk projek menaik taraf Jalan Persekutuan fasa kedua.

“Pembinaan fasa kedua ini meliputi Jalan Persekutuan dari Bandar Pusat Jengka  ke Felda Jengka 8 dari simpang Jengka 18 ke simpang Jengka 21 dan dari Simpang Jengka 12 ke Jambatan Kuala Krau. Fasa pertama telah pun melalui proses pembinaan yang melibatkan kos berjumlah RM250 juta.

“Bagi perumahan baharu generasi kedua itu pula kos pembinaan sebenar adalah RM75,000 namun selepas diberikan subsidi oleh kerajaan, ia akan dijual pada harga hanya RM35,000 buat generasi kedua peneroka Felda,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 8,000 orang ramai yang membanjiri padang Felda Jengka 11 di sini, sempena Majlis Ramah Mesra  bersama warga peneroka Felda Dun Jengka, hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, Wilayah Jengka merupakan wilayah yang mendapat tempat di hati beliau dan akan memastikan kemaslahatan serta keperluan rakyat Jengka diutamakan.

Terdahulu, Najib tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Jengka dan berangkat ke Kampung Kerambit Kerdau pada jam 2.30 petang tadi.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment