'Kantung' BN cukup laksanakan Manifesto BN

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, 'kantung' kerajaan mencukupi bagi melaksanakan aku janji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan BN bukan seperti pihak lain yang membuat pelbagai janji tetapi sukar untuk melaksanakannya.
"Kita lihat jika kalau janji pihak lain (pembangkang) untuk mengambil (alih tol) semua lebuh raya bertol, ia membabitkan lebih RM300 bilion dan mereka tak menyebutkan wang itu datang dari mana.
"Apabila program untuk melaksanakan aku janji (Manifesto BN) ini, kerajaan dah ambil kira berapakah pendapatan kepada kantung negara kita, khususnya pada Khazanah Nasional (Bhd).
"Kita dapati berdasarkan pembentangan bajet yang terdahulu, andaian dibuat kerajaan harga petrol adalah (berdasarkan) AS$59 setong, sekarang harga mencecah lebih sedikit daripada AS$69 setong. ...ertinya pendapatan negara akan bertambah maka pendapatan inilah yang digunakan untuk melaksanakan program yang dirancangkan.
"Selain itu apabila sistem percukaian jualan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) kepada GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), wang itu dikembalikan kepada rakyat, dan ini memperlihatkan bahawa kerajaan tidak bankrap kerana rizab negara sebagai yang diumumkan Bank Negara berada pada tahap tertinggi, lebih AS$108 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Tinjauan Mesra sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Wisma UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Manifesto BN itu adalah manifestasi kemampuan kerajaan bukan sahaja daripada aspek pentadbiran malah kewangan sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan bankrap.
"Mana mungkin rizab negara kita meningkat jika negara kita bankrap dan mana mungkin projek-projek ini (dalam Manifesto BN) dilaksanakan, jika pengurusan kewangan negara tidak dijalankan sepenuhnya.
"Ini memperlihatkan bahawa pengurusan kewangan negara dan seluruh sistem penyampaian yang dibuat oleh kerajaan BN adalah sesuatu yang 'doable', ertinya yang boleh dilaksanakan dan ianya terbukti pelaksanaannya dalam aku janji (Manifesto BN) yang sebelum ini," katanya.
Berita lanjut menyusul...
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment