Bantuan RM2.7j untuk bangunkan industri animasi, kartun

Sunday, April 1, 2018

Bantuan RM2.7j untuk bangunkan industri animasi, kartun

Bantuan RM2.7j untuk bangunkan industri animasi, kartun

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan bantuan bernilai RM2.7 juta bagi tujuan pembelian kandungan dan pemberian dana dalam usaha membangunkan industri kartun dan animasi negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata daripada jumlah berkenaan RM2 juta akan disalurkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk pembelian kandungan animasi daripada syarikat-syarikat animasi.

Katanya, pembelian kandungan itu terbuka kepada syarikat animasi bagi membolehkan penggiat karya menghasilkan produk berkualiti.

"Kita perlu bersikap proaktif, ...tidak perlu tunggu saluran (channel) baharu diwujudkan, baru nak beli 'content', ..jadi lebih mudah kita beli dahulu contentnya (kandungannya) dan terpulang kepada syarikat televisyen bila hendak menyiarkannya," katanya.

Salleh berkata demikian pada perasmian Majlis Jamuan Makan Malam Dan Penghargaan Kartunis 2018 anjuran bersama Rumah Kartun dan Kartunis Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di sini, malam ini.

Ia turut diadakan bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-40 Majalah Gila-Gila.

Yang turut hadir Penaung Rumah Kartun dan Komik Malaysia serta Kelab Kartunis Malaysia Dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMASI), Datuk Akmar Hisyam Mokhles dan Presiden Kelab Kartunis Malaysia Dan Pengasas Rumah Kartun Dan Komik Malaysia, Mohd Desa Omar atau Juragan.

Majlis berkenaan turut menyampaikan anugerah kepada 12 kartunis dan animasi. Ia dihadiri kira-kira 200 kartunis dan animator dari seluruh negara.

Salleh berkata, dalam usaha untuk memartabatkan industri kartun dan animasi, bantuan tambahan sebanyak RM500,000 diperuntukkan kepada Rumah Kartun.

Rumah Kartun, sebuah rumah yang menyimpan karya kartun berusia lebih 80 tahun seperti Mahsuri lukisan Saidin Yahya hingga komik yang pernah menjadi fenomena suatu masa dulu seperti Gila-Gila dan Ujang.

Peruntukan sebanyak RM200,000 disalurkan kepada majalah Gila-Gila untuk mendigitalkan koleksi berkenaan yang sudah berusia 40 tahun.

Terdahulu, Salleh dalam ucapannya berharap kartunis boleh berlaku adil dalam memberi tafsiran dan membina tanggapan terhadap semua usaha kerajaan dalam karya kartun mereka.

Beliau turut menegaskan kartun sebagai budaya popular sebenarnya sangat besar pengaruhnya kepada masyarakat kerana digemari dan menjadi ikutan, khususnya kepada golongan remaja dan muda.

"Kartun dan karya perlu ditangani secara berhati-hati dan mengambil kira banyak perkara dan tidak menghasilkannya secara semberono atau mengikut sesedap rasa mereka.

"Ini kerana ia berupaya memberi tafsiran dan mengolah tanggapan masyarakat terhadap sesuatu isu, baik bersifat regional, nasional maupun pun global," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment