Ahli akar umbi PPBM desak pemimpin mohon maaf

Friday, April 6, 2018

Ahli akar umbi PPBM desak pemimpin mohon maaf

Ahli akar umbi PPBM desak pemimpin mohon maaf

ALOR SETAR: Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) didesak supaya memohon maaf secara terbuka kepada semua ahlinya selepas parti itu diarah bubar sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Desakan itu dibuat ahli PPBM Bahagian Pendang, Sungai Petani, Jerai dan Alor Setar yang mahu pemimpin tertinggi parti terbabit khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya memohon maaf atas kesilapan mereka sehingga mengakibatkan PPBM dibubar.

Tidak menyalahkan ROS atas arahan pembubaran sementara itu, ahli PPBM di empat bahagian itu sebaliknya menempelak kepimpinan parti berkenaan yang disifatkan hanya pandai menghentam pihak lawan tetapi gagal menjaga 'rumah' sendiri.

Wakil ahli PPBM Pendang, Shukor Samsudin, 38, berkata kepimpinan parti perlu menyalahkan diri sendiri atas kelemahan masing-masing dan bukannya menuding jari pada pihak lain termasuk ROS atas arahan pembubaran sementara terbabit.

"Kami sememangnya tidak berpuas hati atas apa yang berlaku terhadap PPBM akhir-akhir ini dan kemuncak kemarahan kami ialah apabila ROS mengumumkan pembubaran sementara parti, ...kami tidak marahkan ROS sebaliknya kami kecewa dan marah dengan kepimpinan parti sendiri.

"Berbekalkan pengalaman 22 tahun menjadi Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir); lapan tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin) dan dua tahun lebih menjadi Menteri Besar (Mukhriz) takkan mereka tidak tahu peraturan akta pertubuhan?

"Adakah sebelum ini Persidangan Agong UMNO dibuat tanpa mesyuarat di cawangan serta bahagian? Takkan mereka tidak tahu hal ini, ..salah tetap salah dan jangan pula nak memperbodohkan kami dengan menyalahkan ROS pula," katanya pada sidang media yang turut dihadiri bersama kira-kira 10 ahli PPBM dari empat bahagian itu, di sini.

Katanya, di PPBM Bahagian Pendang sahaja, lebih 30 ahli parti turut sama menyatakan pendirian dan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan tertinggi parti itu.

Semalam, ROS mengeluarkan perintah pembubaran sementara berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 terhadap PPBM yang memperuntukkan parti itu diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen diperlukan ROS dan jika ada rayuan dan ditolak, PPBM akan dibatalkan pendaftarannya.

Pada masa sama, Shukor berkata, ahli akar umbi turut mendesak Muhyiddin yang juga Presiden PPBM dan Setiausaha Agung, Datuk Shahruddin Md Salleh supaya meletakkan jawatan dalam parti kerana gagal menjalankan tugas sehingga menjadi punca kemelut yang melanda PPBM.

Katanya, urus setia PPBM sepatutnya mengambil kursus khas dengan ROS untuk mengetahui cara menguruskan perjalanan sesebuah organisasi politik kerana PPBM bukannya sebuah parti koboi.

"Kami amat malu pada kawan dan pihak lawan terutamanya Barisan Nasional (BN) atas tindakan bodoh pemimpin kami sendiri, ...sekarang mana kami nak letak muka? Muka kami tak setebal muka pemimpin PPBM yang sedang memperbodohkan ahli di seluruh negara.

"Kami sekarang sudah menjadi bekas ahli PPBM Kedah tanpa keluar parti malah terpaksa menumpang simpati atau menjadi peminta sedekah pada parti lain.

"Dah lah selama ini kami dok berkempen banyak menggunakan duit sendiri sekarang ini parti kena bubar maknanya usaha kami selama ini hanya sia-sia," katanya lagi.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment