Lebih 500 penduduk terima sumbangan makanan

Sunday, December 3, 2017

Lebih 500 penduduk terima sumbangan makanan

Lebih 500 penduduk terima sumbangan makanan

TUMPAT: Lebih 500 penduduk di Kampung Simpangan di sini yang terkepung dalam banjir menerima sumbangan makanan dan kelengkapan asas daripada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

Sumbangan disampaikan oleh Penasihatnya, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad khusus kepada penduduk yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana mengalami banjir termenung.

Sharifah Zarah yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), berkata sumbangan dalam bentuk beras, gula, minyak dan lain-lain termasuk tuala dan kain batik serta pelikat diagihkan secara berperingkat.

"Sumbangan ini adalah bagi membantu mangsa banjir yang tidak berpindah dan terkepung menambahkan stok bekalan makanan mereka sementara menunggu air surut.


PENASIHAT Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad menghulurkan sumbangan makanan dan kelengkapan asas kepada mangsa banjir dengan menaiki bot di Kampung Simpangan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Ini menunjukkan bahawa mereka yang tidak berpindah ke PPS dan terkepung juga tidak dipinggirkan kerana kita menyedari mereka juga ada kekangan tersendiri," katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau melakukan ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 10 penghuni rumah yang tidak berpindah termasuk Klinik Kesihatan Simpangan yang dinaiki air sejak Selasa lalu.

Seorang penerima, Yahya Saleh, 65, meluahkan rasa syukur dengan pemberian sumbangan makanan itu kerana bekalan makanan di rumahnya hampir terputus.

Beliau tidak berpindah ke PPS kerana menjaga rumah dan bimbangkan tiga ekor lembu peliharaannya manakala isteri dan seorang anaknya berada di PPS Sekolah Kebangsaan Geting.

"Bekalan makanan di rumah sudah hampir terputus dan saya pula tidak mempunyai bot untuk ke kedai runcit di daratan.

"Jika terdesak saya terpaksa meredah air sehingga paras paha untuk ke kedai runcit yang tidak jauh dari rumah bagi membeli barangan asas," katanya.


PENASIHAT Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad menghulurkan sumbangan makanan dan kelengkapan asas kepada mangsa banjir dengan menaiki bot di Kampung Simpangan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment