Jalan Pintasan Rawang tarik tumpuan

Friday, December 1, 2017

Jalan Pintasan Rawang tarik tumpuan

Jalan Pintasan Rawang tarik tumpuan

RAWANG - Jalan Pintasan Rawang yang dibuka Rabu lalu menerima reaksi positif daripada orang awam yang teruja menggunakan kemudahan akses tersebut.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati kebanyakan pengguna tidak melepaskan peluang memberhentikan kenderaan pada bahu jalan di jambatan yang disenaraikan sebagai tertinggi di Malaysia itu.

Tidak kurang kelihatan beberapa kenderaan yang tersalah lorong terpaksa mengundurkan kenderaan ekoran tidak menyedari pembukaan jalan baharu sejak kelmarin.

R Rajan,37, dari Batang Kali berkata, dia singgah sebentar ke situ untuk merasai sendiri menggunakan jalan tersebut.

“Sejak mula dibina lagi ramai yang sudah tertarik dan tak sabar untuk menggunakan jalan tersebut yang tinggi dan boleh melihat kehijauan pokok.

Mohd Zaini dan tiga anaknya mahu merasai sendiri berdiri di atas jambatan tertinggi di Malaysia

“Perasaan saya pastinya gembira kerana dapat memendekkan perjalanan kira-kira satu jam dari Hulu Selangor ke Rawang,” katanya yang bekerja sendiri.

Menurutnya, sebelum ini pengguna dari Hulu Selangor berdepan masalah kesesakan untuk ke Kuala Lumpur dan Selayang.

“Kami perlu melalui Pekan Rawang terlebih dahulu yang trafiknya sesak dan banyak lampu isyarat sepanjang jalan.

“Terima kasih kepada kerajaan yang menyediakan alternatif ini dan selepas ini lebih mudah untuk ke Kuala Lumpur dan Selayang,” katanya.

Alternatif elak kesesakan

Pesara tentera dari Kalumpang, Che Mohd Zaini Mohd Basri,50, mengakui menggunakan laluan baharu itu lebih cepat dan dapat mengelak tersangkut dengan kesesakan jalan.

“Biasanya jalan sesak di Rasa ke Rawang.. Tadi mahu ikut jalan lama tapi sebab dah sesak saya cuba lalu jalan baru dan trafik sangat lancar kerana ramai yang belum melalui jalan pintas Rawang ini.

“Sedikit gayat juga lalu di jalan yang tinggi ini tapi sangat membantu memendekkan perjalanan. Kalau dulu saya terpaksa guna Lebuh raya Utara-Selatan untuk ke Rawang tapi sekarang boleh guna jalan pintas ini,” katanya.

Bagi Mohd Akmal Md Noor,25, berkata, dia dan isterinya singgah sebentar di jalan pintas itu untuk merasai sendiri berada di ketinggian 58.2 meter itu.

“Saya dari Rawang mahu ke Tambun jadi singgah sebentar di sini untuk cuba jalan baru ni.. Sementara tak banyak kenderaan ini boleh berhenti sekejap nikmati pemandangan.

Deretan kenderaan orang ramai yang mengambil kesempatan meninjau sendiri keunikan Jalan Pintasan Rawang.

“Selepas ini akses nak ke utara ada beberapa alternatif dan dapat elak melalui jalan depan Kuala Garing yang sibuk bila waktu puncak,” katanya.

Katanya, dia mencadangkan supaya lebih banyak tanda arah dipasang, memandangkan banyak kenderaan yang terlepas lorong sejak jalan baharu itu dibuka.

“Ada beberapa kenderaan terlepas lorong tadi mungkin sebab belum biasa dengan jalan baru ini.. Harap papan tanda dan kon dipasang bagi memudahkan orang awam perasan dengan perubahan jalan baharu ini.

“Secara keseluruhan memang puas hati dengan jalan baru ini kerana banyak membantu selesaikan aliran trafik di sini,” katanya.

Pembukaan jalan tersebut dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof Selasa lalu dan dibuka kepada umum sehari kemudian.

Projek dimulakan 2015 oleh Panzana Enterprise Sdn Bhd dan siap sepenuhnya 21 November lalu.

Jajaran baharu sepanjang 9 km bernilai RM628 juta itu melibatkan pembinaan struktur bertiang atau jambatan tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 58.2 meter dari aras tanah.

Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pengguna setiap hari.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment