MDPP hurai kekeliruan

Friday, December 1, 2017

MDPP hurai kekeliruan

MDPP hurai kekeliruan

PASIR PUTEH - Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh berhubung status Pasar Besar Pasir Puteh (pasar lama) dan pasar baharu, Pasar Siti Hajar.

Yang Dipertuanya, Mohd Anis Hussein berkata, dakwaan mengatakan satu agensi kerajaan akan membeli tapak pasar lama itu tidak benar kerana tapak itu diserah kepada HLK Ventures dengan kelulusan kerajaan negeri.

"Pasar lama tetap akan dirobohkan, hanya menunggu waktu bersesuaian, lagipun sudah dua kali notis pemindahan dikeluarkan.

“Seramai 305 sudah berpindah ke Pasar Siti Hajar sementara 135 lagi belum berpindah walaupun mereka sudah menjelaskan bayaran tanda bersetuju," katanya petang kelmarin.

Menurutnya, peniaga yang belum berpindah diberikan notis Rabu lalu (29 November) yang menuntut mereka berpindah dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh berkenaan.

"Jika masih gagal, MDPP menganggap mereka tidak berminat berniaga di Pasar Siti Hajar dan tempat  akan diisi pemohon baru," katanya.

Mohd Anis berkata, dakwaan mengatakan tiada penilaian bebas ke atas nilai tapak pasar lama dan pasar baharu ketika pengambilan tanah juga tidak benar.

Katanya, penilaian dibuat berdasarkan analisa pelaburan semasa projek iaitu nilaian pasar lama RM6.3 juta termasuk tanah, bangunan dan premium tanah.

"Perjanjian MDPP dengan HLK Ventures dalam klausa 5.2 mengatakan bahawa pemaju perlu menyerahkan milikan satu unit Pasar Niaga dengan keluasan 3,941 meter persegi, satu unit Terminal Bas dan Teksi (1,660 meter persegi), dan surau berserta galeri.

"Juga satu kawasan parkir awam dan pembesaran jalan bandar lama ke bandar baharu bernilai RM10 juta yang menjadi hak mutlak MDPP," katanya.

Katanya, mengikut nilaian oleh penilai bertauliah, Nasir Sabaruddin & Associates Sdn Bhd, keseluruhan nilaian komponen tersebut adalah lebih RM14.6 juta iaitu Pasar Siti Hajar RM4.5 juta nilai tanah dan RM4.8 juta nilai bangunan, Terminal Bas dan Teksi RM2.8 juta nilai tanah dan RM2.3 juta nilai bangunan sementara Surau Tok Guru RM238,000 nilai bangunan.

“MDPP tidak mengetahui mengenai dana yang katanya diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan kerana pembiayaan projek pembangunan dan pembinaan pasar tanggungjawab penuh pemaju.

“Bayaran RM608,982 adalah bayaran tambahan ditanggung HLK Ventures untuk pengambilan tanah bagi 28 lot bangunan perniagaan.

“Saya juga menafikan dakwaan mengatakan cadangan asal pasar baharu adalah bangunan dua tingkat kerana Melalui Asas Rujukan (TOR) pada 12 Julai 2011, cadangan tidak menetapkan jumlah tingkat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment