Banjir ancam kawasan rendah Perlis

Friday, December 1, 2017

Banjir ancam kawasan rendah Perlis

Banjir ancam kawasan rendah Perlis

KANGAR: Beberapa lokasi rendah di sekitar daerah ini dijangka berisiko untuk dinaiki banjir, terutama di kawasan rendah di sepanjang sungai utama negeri.

Antaranya termasuk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena, di sini, susulan keadaan Sungai Repoh yang dilapor melepasi paras bahaya.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, berkata mengesahkan perkara itu dengan satu lagi pusat pemindahan sementara dibuka malam tadi, sebagai tambahan kepada dua pusat pemindahan sedia ada menempatkan keseluruhan 124 mangsa membabitkan 35 keluarga.

Katanya, pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena itu dibuka tengah malam tadi dan menempatkan 10 keluarga membabitkan 31 mangsa banjir.

"Hujan sudah berhenti sejak semalam, bagaimanapun kita menjangkakan jumlah mangsa banjir akan meningkat, terutama di kawasan rendah seperti di Kangar.

"Pusat pemindahan di SK Sena, contohnya dibuka untuk menempatkan mangsa dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena yang dinaiki air malam tadi," katanya ketika dihubungi.

APM Perlis pada masa sama berkata selain kedudukan rendah, kawasan terbabit dinaiki banjir selepas air yang dilepaskan dari Empangan Timah Tasoh memenuhi sungai berdekatan sehingga menjejaskan kawasan di sekitarnya.

Jurucakap agensi berkenaan berkata, mengambil kira risiko itu pihaknya membuat pemantauan rapi di sekitar sungai yang dikenal pasti berisiko.

"Setakat ini pemantauan mendapati sungai yang berisiko tinggi untuk naik ialah Sungai Abi dan Sungai Perlis, manakala Sungai Repoh pula sudah melepasi paras bahaya iaitu 4.57 meter," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, turun padang meninjau keadaan mangsa di pusat pemindahan SK Sena, malam tadi.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis mengesahkan pihaknya masih mengekalkan pelepasan air di Empangan Timah Tasoh melalui empat pintu dengan ketinggian 400 milimeter (mm).



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment