Banjir Kelantan: Bah di 5 daerah makin pulih

Saturday, December 2, 2017

Banjir Kelantan: Bah di 5 daerah makin pulih

Banjir Kelantan: Bah di 5 daerah makin pulih

KOTA BHARU: Banjir di Kelantan semakin pulih apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara terus berkurangan kepada 11,747 orang daripada 4,553 keluarga setakat jam 5.30 petang tadi.

Jumlah berkenaan berkurangan berbanding 13,732 orang yang ditempatkan di pusat pemindahan pada sebelah pagi.

Jumlah pusat pemindahan yang dibuka juga berkurangan kepada 53 berbanding 60 pagi tadi di enam daerah, iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang.

Mengikut maklumat portal eBanjir Kelantan, mangsa banjir di Pasir Mas yang sebelum ini paling tinggi, berkurangan kepada 7,063 orang daripada 2,964 keluarga di 31 pusat pemindahan, berbanding 9,236 orang pagi tadi.

Tanah Merah juga menunjukkan pengurangan kepada 56 mangsa daripada 15 keluarga di dua pusat pemindahan, berbanding 104 orang pada sebelah pagi.

Kota Bharu dan Gua Musang turut menyaksikan perubahan sama, masing-masing hanya menempatkan 133 mangsa daripada 34 keluarga di dua pusat pemindahan dan 77 mangsa daripada 18 keluarga, juga di dua pusat pemindahan.

Keadaan sebaliknya di Tumpat apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,604 orang daripada 1,280 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan, berbanding 3,302 orang malam tadi.

Pasir Puteh kekal dengan 814 mangsa daripada 242 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sejak pagi tadi.

Sementara itu, paras Sungai Galas di Limau Kasturi kembali normal kepada 55.78 meter berbanding paras bahaya 59.48 meter pada pagi tadi.

Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu masih pada paras bahaya, masing-masing 10.36 meter dan 3.50 meter.

Empat sungai lain, iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan di Kusial serta Sungai Golok di Jenob berada di paras berjaga-jaga.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment