TFC I uji 4 import petang ini

Friday, December 29, 2017

TFC I uji 4 import petang ini

TFC I uji 4 import petang ini

KUALA TERENGGANU: Kelibat empat pemain import Terengganu FC I (TFC I), dijangka menjadi tumpuan apabila turun buat pertama kalinya pada aksi persahabatan menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, petang ini.

Mereka adalah penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre dan Thierry Chantha Bin (Kemboja) serta pemain pertahanan dari Montenegro, Igor Zonjic dan pemain tengah dari Korea Selatan, Kim Hyeon Woo.

Penolong Jurulatih TFC I, Mohamad Nik berkata menerusi perlawanan itu, pihaknya berharap dapat membuat penilaian rapi terutama bagi mengenalpasti kelemahan yang wujud selain keserasian pemain.

Katanya, seorang lagi pemain import kelahiran England, Lee Tuck yang pernah beraksi bersama skuad Negeri Sembilan musim ini tidak dapat diturunkan kerana masih berada di negaranya atas urusan peribadi.

"Dengan kehadiran empat pemain import itu dan sembilan muka baru dari kalangan pemain tempatan, kita berharap akan dapat menilai kekuatan dan kelemahan pasukan," katanya.

Mohamad yang lebih mesra dipanggil 'Coach Nik' mengakui secara keseluruhannya, barisan TFC I belum lagi menunjukkan keserasian dan kemantapan sejak latihan bermula pada 4 Disember lalu.

"Oleh itu aksi pertama petang ini bakal menjadi eksperimen kepada kami barisan jurulatih untuk melihat sejauh mana corak permainan mereka.

"Ia sebagai persiapan menghadapi saingan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu bermula 15 hingga 19 Januari 2018 selain paling utama berdepan kancah Liga Malaysia musim depan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment